UMNO TIDAK FAHAM HAKIKAT KESUSAHAN RAKYAT, KATA ZURAIDA

Pemimpin Umno terlalu jauh dengan realiti sebenar untuk memahami keadaan rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup, dakwa Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

“Pastinya sukar untuk ahli politik Umno memahami mengapa 15 peratus rakyat mengikat perut untuk menyara kehidupan kerana mereka terputus dengan situasi sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas tinjauan Merdeka Centre bulan lalu yang menunjukkan sejumlah 15 peratus rakyat mengikat perut, manakala 29 peratus lagi tiada simpanan RM500 untuk kecemasan.

Tinjauan itu dibuat antara 4 hingga 14 November, melibatkan 1,203 pengundi berdaftar.

Zuraida berkata lagi, sejumlah 7 juta rakyat Malaysia yang layak menerima bantuan BR1M menunjukkan masih banyak isi rumah yang berpendapatan rendah.

“(Angka 7 juta) bermakna separuh daripada rakyat yang layak mengundi bergantung kepada BR1M. Ia juga menunjukkan 22.5 peratus daripada jumlah rakyat mempunyai pendapatan kurang daripada RM4,000 untuk setiap isi rumah.

“(Maka) Adakah Umno benar-benar peduli dengan kebajikan rakyat?” soalnya.

Secara keseluruhan, Merdeka Centre berkata tinjauan terbaru itu menunjukkan kebimbangan utama sebahagian besar rakyat, iaitu 72 peratus, adalah berkaitan kos sara hidup, kesukaran ekonomi dan pekerjaan.

image: https://i.malaysiakini.com/1187/09f724203fc301a4239dbb2ff194fe0a.jpeg

Hampir dua pertiga daripada responden “merasa tertekan” apabila memikirkan masa depan, sementara 40 peratus mengatakan mereka mempunyai masalah untuk membayar bil utiliti tepat pada waktunya.

Zuraida yang juga anggota parlimen Ampang berkata, segala petunjuk yang menyatakan ekonomi negara dalam keadaan baik jelas tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi rakyat.

Apatah lagi dengan pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir, katanya lagi, di mana pasaran saham menunjukkan prestasi yang baik dan mata wang ringgit semakin kukuh.

“Malah harga minyak pun akan turun. Bantuan kewangan akan diagihkan untuk memberi keyakinan kepada pengundi. Tetapi ia tidak mengubah hakikat sejumlah besar rakyat masih hidup susah.

“Satu-satunya cara untuk mengubah keadaan adalah membanteras rasuah dan menukar kerajaan pada PRU akan datang,” katanya lagi.

– M’kini

.