UMNO TERENGGANU MUKTAMAD CALON PRU14

KUALA NERUS – Umno Terengganu telah mengemukakan senarai calon bagi menghadapi PRU14 kepada pucuk pimpinan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata calon yang dipilih adalah daripada kalangan mereka yang berwibawa, dekat di hati rakyat dan boleh memberi kemenangan kepada parti.

“Badan Perhubungan Umno negeri telah menyenarai pendek dan merujuk calon-calon yang terpilih daripada bahagian masing-masing sebelum nama mereka diberikan kepada pucuk pimpinan parti.

“Peratusan muka baharu atau sama ada berapa¬† calon daripada kalangan wanita (yang akan disenaraikan sebagai calon) hanya akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan parti kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus Datuk Basir Ismail, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Nerus Khairuddin Abd Majid dan kira-kira 500  anggota perwakilan daripada bahagian itu.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapan perasmiannya meminta semua pihak menerima dan menyokong sesiapa sahaja yang bakal dicalonkan bagi memastikan Umno terus menerajui negeri ini.

“Kita tidak mahu sejarah PRU pada 1999 berulang kembali dan jika kita tewas pada kali ini, kemungkinan untuk menawan kembali negeri ini daripada pihak lawan adalah sukar.

“Tetapi saya percaya dengan semangat waja jentera parti dan sokongan padu kita dapat mencipta cerita kejayaan dengan menjadikan negeri ini kekal milik Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

– Bernama

.