UMNO TAK FIKIR TINDAKAN TERHADAP HUSNI: ANNUAR MUSA MENCABAR MUHYIDDIN BERDEBAT

KUALA LUMPUR – Umno tidak memikirkan soal tindakan terhadap bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang membangkitkan isu 1MDB dalam perbahasan Bajet 2017, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Ahmad Husni telah menggunakan medium yang tepat iaitu Parlimen untuk bertanyakan soalan.

“Setakat ini tidak berbangkit tindakan terhadap beliau. Selagi beliau berucap pada tempatnya, gunakan haknya sebagai ahli parlimen dan asalkan niatnya baik.

“Saya suka lihat kerajaan dikritik, tak mengapa. Kita bukannya kerajaan yang nak tutup mulut orang dan kena cakap yang baik-baik saja,” katanya kepada media selepas program Jelajah Penerangan – Pemimpin bersama Akar Umbi Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Husni serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Dalam perbahasan ucapan Bajet 2017 itu, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan selain tindakan yang mungkin dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau sendiri telah berhubung dengan Ahmad Husni bagi meminta penjelasan lanjut.

“Saya keliru apabila beliau tanya kenapa 1MDB ditubuhkan. Sedangkan beliau sendiri yang jawab soalan itu tahun lalu.

“Beliau telah beri penjelasan kepada saya tetapi tidak sama dengan ucapan beliau di Parlimen. Mungkin cara beliau berkomunikasi tidak cukup efektif,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, dakwaan ketiga-tiga bekas menteri itu perlu didepani dengan fakta dan kebenaran.

“Di Parlimen misalnya, saya ‘engage’ dan bangun minta penjelasan apabila Muhyiddin berucap. Oleh kerana dia buat kerana politik maka saya pilih berdepan dengannya secara politik.

“Mungkin kalau ada masa saya boleh aturkan debat terbuka dengan Tan Sri Muhyiddin, tak ada masalah,” katanya.

SINAR HARIAN

.