UMNO SUNGAI BESAR CABAR BERSATU TANDING PRU

PUTRAJAYA – Umno Sungai Besar mencabar parti Bersatu untuk bertanding di parlimen tersebut pada PRU14, nanti.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pihaknya bersedia untuk bertanding dengan mana-mana parti politik, termasuk Bersatu pada pilihan raya yang akan datang.

“Saya mengalu-alukan Bersatu untuk bertanding di Sungai BesarĀ  pada pilihan raya akan datang.

“Sekiranya Bersatu kalah di situ, saya akan mengutip derma bagi membayar deposit kekalahan parti itu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Secara peribadi, Jamal tidak merasai bahang kewujudan parti berkenaan kerana Umno yang ada ketika ini adalah Umno tulen, yang memperjuangkan roh parti itu sendiri serta nasib rakyat.

Malah, beliau menzahirkan kesyukuran apabila Bersatu lahir, ahli Umno serta rakyat boleh melihat agenda perjuangan yang dibawa oleh parti tersebut.

“Kalau kita lihat, mereka yang keluar daripada Umno seperti Tun Mahathir, Tan Sri Muhyddin, Datuk Seri Shafie Apdal adalah orang yang berlidah cabang kerana mereka tidak bersyukur dengan kekayaan dan keamanan yang dikurniakan oleh ALLAH SWT.

“Umno yang ada sekarang ini adalah Umno yang tulen dan orang yang ada dalam Umno sekarang adalah orang yang memperjuangkan roh Umno itu sendiri dan bukannya memperjuangkan kepentingan peribadi semata-mata.

“Kami dalam Umno berasa lega apabila Bersatu ini wujud kerana wujudnya mereka, maka hilanglah duri dalam daging dalam Umno itu sendiri,” jelasnya.

– SH