UMNO SENTIASA AMAL POLITIK DAKWAH: ZEIN ISMA

SHAH ALAM – Umno sentiasa mengamalkan politik dakwah sejak dari dulu, kini dan selamanya, kata Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

Tidak seperti yang lain, katanya lagi, pendekatan politik dakwah yang dibawa Umno menjadikan wadah politik sebagai alat untuk berdakwah.

“Jauh di sudut hati sebagai seorang Muslim, saya tidak dapat sembunyikan agenda utama yang wajib terpahat dalam hati iaitu agenda dakwah Islamiah.

“Dengan politik itulah membolehkan dakwah Islam dimartabatkan. Syariat Islam didaulatkan. Agenda Islam dirancang dilaksanakan sebaiknya. Inilah hasil politik dakwah yang dibawa oleh Umno selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sedangkan dakwah politik pula, katanya lagi, merujuk kepada mereka yang meletakkan agenda dakwaan untuk mencapai matlamat politik.

“Menggabung jalinkan dua istilah politik dakwah dan dakwah politik pasti memberi makna dan natijah yang berbeza.

“Kerana itu mereka memperlihatkan imej diri sebagai pendakwah (ustaz, ulama), menjadikan al-Quran dan hadis sebagai alat dakwah demi mencapai matlamat politik, iaitu berkuasa,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, sifat politik dakwah adalah lebih kepada menjaga agama, sementara dakwah politik pula dikatakan mempergunakan agama demi kepentingan politik dan peribadi.

“Umat Islam perlu memiliki agenda dakwaan kerana ia adalah warisan perjuangan para Nabi dan Rasul.

“Tanpa dakwah, pasti Islam di bawah,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.