UMNO: PERCAYA GOEBBELS? GUAN ENG ‘PIRING HITAM ROSAK’

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng didakwa terus menyembunyikan fakta sebenar berhubung penjualan tanah di negeri ini bagi mendapatkan pulangan lebih besar.

Pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata Lim dilihat terus memutarkan cerita fiksyen dengan menyatakan kerajaan DAP Pulau Pinang hanya menjual 106.1 ekar tanah sejak 2008 sehingga kini.

“Ketua menteri juga dakwa peroleh pulangan lebih besar untuk penjualan tanah-tanah berbanding pulangan diperoleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Beliau (Lim) terus menyembunyikan fakta sebenar daripada pengetahuan rakyat.

“Kerajaan negeri BN terdahulu hanya memberi ‘hak menebus guna laut’ untuk Projek Tambakan Seri Tanjong Pinang (STP) di Tanjong Tokong, Jelutong Expressway kepada IJM dan pesisir Bagan Ajam kepada Kumpulan Rayston.

“Lim membuat perbandingan salah; ‘menjual tanah sedia untuk pembangunan dengan memberi hak menebus guna laut adalah tidak sama’. Projek tebus guna laut diluluskan kerajaan BN terdahulu bukan memberi pulangan dalam bentuk tunai sahaja.

“Pulangan kewangan kepada kerajaan negeri bagi projek tambakan STP di Tanjong Tokong bukan juga hanya RM1/kps sebagai bayaran untuk hak menebus guna laut (jumlah RM42.7 juta) sebagaimana didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri era BN sebelum 2008 mengutip RM1.0586 bilion hasil melalui penjualan 3,661 ekar tanah, manakala kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang pada masa ini, pula menjual 106.1 ekar tanah, tetapi berjaya mendapat hasil lebih tinggi sebanyak RM1.1102 bilion.

Lim juga dilaporkan berkata beliau menafikan dakwaan pihak tertentu mengatakan pentadbirannya terpaksa menjual tanah serta memperdagang aset negeri demi menampung perbelanjaan mengurus kerajaan negeri yang kian meningkat.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata mengikut perjanjian konsesi, kerajaan negeri Pulau Pinang akan memperoleh tanah siap ditambak seluas 110 ekar.

“Tanah 110 ekar inilah digunakan kerajaan Pulau Pinang untuk membayar kontraktor projek Terowong Bawah Dasar Laut dan tiga jalan utama bernilai RM6.3 juta.

“Oleh itu, pulangan daripada projek STP bukan RM42.7 juta saja… ia lebih daripada RM6.3 bilion,” katanya.

Zainal Abidin, yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, berkata projek tambakan laut Seri Tanjong Pinang, Jelutong Expressway turut melibatkan pembinaan rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan lebuh raya.

“Penambakan laut di Bagan Ajam akan menyediakan tanah untuk projek pembesaran Northern Butterworth Container Terminal,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP itu juga menjual tanah tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin untuk pembinaan hospital-hotel swasta manakala tanah tambakan Bayan Mutiara dijual kepada pemaju hartanah swasta bagi pembinaan rumah-rumah mewah yang tidak menguntungkan rakyat.

“Bukan kerajaan Pulau Pinang saja jual tanah. Menurut jawapan kepada soalan di sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) juga menjual banyak tanah dan bangunan kepada pemaju-pemaju swasta berjumlah lebih RM750 juta.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai juga terlibat dalam penjualan tanah dan aset-aset lain.

“Ketua menteri Pulau Pinang pernah menjelaskan tujuan kerajaan Pulau Pinang tubuh Chief Minister Incorporated (CMI) untuk memudahkan urus niaga dan kontrak dengan pihak swasta.

“Mungkinkah lebih banyak transaksi jual tanah kerajaan negeri kepada pihak swasta akan dilaksanakan pada masa depan?

“Satu tabiat ketua menteri Pulau Pinang adalah mengulangi ayat-ayat sama… berulang-ulang kali seperti piring hitam rosak. Mungkin dia amat percaya dengan teori propaganda Goebbels,” katanya.

— Bernama

.