UMNO, PAS TERMALU SENDIRI

Dua bekas Ketua Polis Negara akhirnya bersuara mengenai ura-ura kerajaan, dan kemudian disokong oleh Pas untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI berhubung tragedi Memali.
Tun Hanif Omar melontarkan tiga persoalan berhubung hasrat menubuhkan RCI Memali itu – apa lagi yang mahu dicari, apa yang masih tidak puas hati dan apakah perkara penting yang belum terjawab berkaitan tragedi tersebut?
Selain mungkin kerana kertas putih peristiwa Memali sudah pun dibentangkan di Parlimen pada 26 Februari 1986 oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Hanif juga mengingatkan bahawa setiap RCI akan mempunyai kos tersendiri yang akan ditanggung oleh rakyat.
Seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Rahim Nor pula mengingatkan RCI Memali, jika ditubuhkan, hanya akan mendedahkan peranan Presiden Pas, Hadi Awang dalam peristiwa berdarah itu.
Kata beliau, Amanat Hadi tidak dapat dielakkan adalah memainkan peranan utama sehingga tercetusnya peristiwa Memali.
“Ada dua elemen penting dalam Amanat Hadi. Pertama, dia kata orang-orang Islam tidak perlu menjadi Kristian, Yahudi atau Nasrani untuk menjadi kafir, sebaliknya cukup dengan mengamalkan politik suku dan agama suku.
“Kedua, Hadi juga kata perjuangan yang mereka lakukan adalah jihad dan sekiranya terkorban dalam perjuangan, mati mereka adalah syahid,” ujar Rahim lagi.
Sekarang macam mana?
Setelah membaca kenyataan Tun Hanif, masihkah UMNO, terutamanya Zahid Hamidi yang ternampak galak membangkitkan isu itu yang dilihat satu lagi cubaan meletakkan kesalahan sesuatu peristiwa kepada Tun Mahathir Mohamad, mahu meneruskan hasrat menubuhkan hasrat RCI berkaitan Memali itu?
Mahu tidak mahu, beliau kini patut berasa malu terhadap dirinya sendiri kerana tidak dinafikan bahawa kenyataan Tun Hanif adalah pukulan paling pedih terhadap kewibawaannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Apa lagi yang mahu dicari, apa yang masih tak puas hati dan apakah perkara penting yang belum terjawab sehingga kini?
Sediakah Zahid Hamidi faham dan hadam betul-betul tiga pertanyaan Tun Hanif itu?
Berikutan peringatan Rahim Nor pula, apakah Pas, khususnya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Takiyuddin Hassan, masih lagi kekal dengan pendirian mahu menyokong penubuhan RCI berkenaan?
Sama seperti Zahid Hamidi yang patut malu dengan kenyataan Tun Hanif, Tuan Ibrahim dan Takiyuddin juga sewajarnya merasa malu sama kerana bacaan politik mereka rupa-rupanya tidaklah lebih cerdik berbanding Rahim Nor.

Kecuali kiranya Tuan Ibrahim dan Takiyuddin memang bertujuan untuk memalukan Hadi, sediakah mereka melihat Presiden Pas itu dipersalahkan jika RCI Memali ditubuhkan nanti?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my

.