UMNO P PINANG: KAMI AKAN ‘PAKSA’ ZUNAR KALAU BERDEGIL

Kumpulan penyokong Umno yang ‘terganggu’ dengan pameran kartun oleh Zulfiklee Anwar Ulhaque (Zunar) di Komtar hari ini membuat laporan polis terhadapnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, pihaknya membuat laporan polis di ibu pejabat polis Timur Laut di Jalan Pattani pada kira-kira 4.19 petang.

Beliau memberi amaran jika pameran ini berterusan, kumpulan itu tidak akan teragak-agak untuk memaksa Zunar untuk menurunkan semula semua karya seni.

Ujarnya, laporan itu dibuat terhadap Zunar dan kerajaan Pulau Pinang kerana membenarkan pameran yang disifatkan sebagai ‘kurang ajar, menghina, fitnah dan penuh penipuan’ mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami telah berbincang dengan Zunar (di Komtar) dan paksa beliau turunkan semua karya seni; kami meminta beliau tidak naikkan semula sehingga Ahad ini,” jelas Rafizal kepada pemberita di luar ibu pejabat polis.

“Kami dari sayap Pemuda Umno negeri akan memantau keadaan jika beliau menaikkan semula karya seninya lagi,” kata Rafizal memberi amaran.

“Jika beliau berbuat begitu sekali lagi, kita tidak akan teragak-agak memaksa beliau untuk menurunkan semula karya beliau, kami akan melakukannya sama ada dengan cara yang baik atau dengan paksaan,” tegas Rafizal.

http://www.malaysiakini.com/news/364211

MKINI

.