UMNO MAIN WAYANG ISU PEMANSUHAN TOL

SHAH ALAM – Umno diharap tidak bersikap hipokrit berhubung gesaan agar kutipan bayaran tol Batu Tiga dan Sungai Rasau dimansuhkan.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pembangkang seawal 2012 lagi sudah menggesa kerajaan Umno/BN untuk memansuhkannya dengan mengadakan demonstrasi dan sebagainya.

“Saya fikir Umno tidak perlu bersikap hipokrit dengan isu pemansuhan tol ini.

“Kewujudan plaza tol ini sejak lebih puluhan tahun yang lalu telah membebankan rakyat setiap hari dan sepatutnya dimansuhkan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Umno Shah Alam meminta kerajaan memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan di sini, yang dilihat semakin membebankan pengguna terutama yang berpendapatan rendah.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Shah Alam, Razalee Ahmad berkata, usul berkenaan cuba dibawa sejak tiga tahun lepas dan akan terus dibawa sehingga terlaksana penutupan di kedua-dua tol berkenaan demi kesejahteraan rakyat.

Katanya lagi,kerajaan Umno/BN pada hari ini langsung tidak mengambil pendekatan yang boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam isu kadar tol termasuk penutupan tol, pemansuhan tol dan pengurangan kadar tol.

“Menurut Plus Malaysia Berhad (Plus), perjanjian konsesi asal kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau sepatutnya berakhir pada 2018 tetapi telah dilanjutkan sehingga tahun 2038 dan perlakuan ini seperti sengaja dipanjangkan untuk mengutip tol ratusan juta selama berdekad-dekad lamanya yang hanya akan menguntungkan segelintir manusia dan ‘menghisap darah’ rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, pekara ini amat tidak adil kepada rakyat kerana terpaksa membayar tol atas kesilapan kerajaan Umno BN dalam menandatangani perjanjian konsesi tol yang jelas berat sebelah dengan memberi keuntungan kepada syarikat konsesi tol Plus.

Kerajaan Umno/BN sepatutnya bertanggungjawab memberi kemudahan terbaik kepada rakyat dan bukannya berterusan menekan rakyat dengan mengenakan tol yang dianggap tidak lagi munasabah,” katanya.

– SH

.