UMNO: KAJIAN RAFIZI TIDAK JEJAS KAMI

SHAH ALAM – Kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bahawa sokongan orang Melayu terhadap Umno dan BN jatuh mendadak hanyalah usaha melemahkan jentera parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan kajian yang dijalankan Rafizi itu bagaimanapun tidak mampu memberi kesan kepadaUmno dalam menghadapi PRU14.

“Mungkin beliau melihat ketika ini perpaduan dan kekuatan Umno berada pada tahap terbaik dan sebab itu beliau cuba memberi gambaran Umno lemah dan tidak kuat.

“Itu hak Rafizi untuk berkata apa pun kerana Umno mempunyai cara tersendiri untuk mengukur kekuatan parti. Saya yakin, Umno tidak akan terkesan dengan kenyataan beliau apatah lagi dapatan kajian itu tidak bersandarkan pada fakta yang tepat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Baru-baru ini, Rafizi telah mengemukakan keputusan kajian yang membuktikan sokongan Melayu kepada Umno dan BN jatuh mendadak kepada 40 peratus.

Beliau turut yakin, keputusan memberi peluang cerah kepada Pakatan Harapan memenangi PRU14 walaupun terdapat pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, usaha itu bukanlah perkara baharu, malah beberapa kajian lain turut dilakukan terhadap Umno selama ini.

“Sebelum PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kita juga dengar bagaimana kajian yang menunjukkan Umno akan kalah. Apabila keputusan dikeluarkan perkara sebaliknya berlaku malah BN menang selesa,” ujarnya.

“Selagi kita bekerja untuk rakyat saya yakin Umno mampu menafikan kajian seumpama ini.

“Apatah lagi kredibiliti Rafizi dalam soal ini selalu dipertikaikan. Pandangan dan tuduhan beliau sering tersasar dan dan sukar untuk dipercayai,” katanya.

SINAR HARIAN

.