UMNO JELUTONG MAHU DAP SAMAN TUNKU AZIZ

Ketua Umno bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Lim Kit Sing perlu menyaman Tunku Abdul Aziz bagi menafikan dakwaan bahawa DAP adalah parti penuh rasuah.

Menurut Abdul Razak, jika veteran DAP mahu berbicara mengenai rasuah, beliau sepatutnya mengambil tindakan saman kepada Tunku Aziz bagi membuktikan parti itu sebenarnya difitnah.

“Kit Siang mungkin sudah semakin ‘nyanyuk’ dan terlupa DAP sebenarnya terlalu banyak terpalit kes rasuah sehinggakan tidak berani mengambil tindakan terhadap Tunku Aziz yang secara terang-terangan mengatakan rasuah memang bermaharajalela di dalam parti itu.

“DAP selama ini memang terkenal dengan sikap suka mengambil tindakan saman tetapi apabila Tunku Aziz terang-terangan menuduh parti DAP penuh rasuah, mengapa tiada sebarang tindakan diambil.

“Jadi, jika Kit Siang mahu bercakap pasal rasuah, lebih baik dia saman dulu Tunku Aziz. Jika tidak, memang benarlah dakwaan yang dibuat bahawa DAP adalah parti penuh rasuah,” ujarnya, memetik laporan Umno Online.

Abdul Razak berkata demikian mengulas kenyataan Kit Siang yang mahu barisan kabinet yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri mengambil peduli amaran Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai gejala rasuah dan pecah amanah di negara ini.

Baru-baru ini, Kit Siang juga mengeluarkan kenyataan juga mahu kabinet pimpinan Najib menghentikan semua pertuduhan terhadap pemimpin anti-rasuah seperti Tony Pua, Rafizi Ramli, Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin dan Anis Syafiqah Md Yusuf.

Terdahulu, Tunku Aziz yang merupakan bekas naib pengerusi DAP pernah mendedahkan punca beliau keluar dari DAP pada tahun 2012 disebabkan rasuah dalam parti itu yang cukup teruk.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, selain tindakan saman, Kit Siang juga harus mendesak anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar melepaskan jawatan.

Guan Eng perlu meletakkan jawatan sebagai ketua menteri pulau mutiara itu kerana sedang berhadapan dengan dua pertuduhan rasuah, tambah beliau.
“Kit Siang sepatutnya malu bercakap soal rasuah kerana integriti DAP tercalar teruk akibat rasuah. Tetapi tidak seorangpun pemimpin DAP yang berani untuk menafikan atau membuktikan tidak terlibat dengan rasuah.

“Setiap kali diajukan persoalan ataupun dituntut memberi jawapan berkaitan skandal rasuah yang terpalit, mereka akan menuding jari kepada orang lain ataupun memburukkan kerajaan pusat.

“Nasihat saya kepada Kit Siang, bersihkan parti sendiri sebelum sibuk mahu mencampuri urusan kerajaan pusat,” ujar beliau lagi.

– M’kini

.