‘UMNO JANGAN TERLALU YAKIN’

PERMATANG PAUH – Umno diingatkan supaya tidak terlalu yakin merampas kerusi Permatang Pauh daripada PKR kerana ia bukan sesuatu perkara yang mudah.

Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Amir Ghazali berkata, PKR tidak akan sesekali membenarkan perkara itu terjadi dan percaya rakyat di kawasan itu masih teguh bersama Pakatan Harapan pada PRU14 akan datang.

Menurutnya, Umno dilihat semakin agresif dalam mendekati masyarakat di kawasan ini sejak dua tahun kebelakangan ini dan ia secara jelas menunjukkan gerak kerja dilakukan oleh mereka semata-mata disebabkan pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.

“Mereka (Umno) mempunyai dana yang besar dan mereka boleh tabur atau memberi keyakinan tinggi kepada rakyat atas kebendaan yang mereka miliki.

“Namun masyarakat di Permatang Pauh ini tidak akan terpedaya dan saya yakin masyarakat di sini tetap menyokong Pakatan Harapan serta mahukan PKR terus menerajui Permatang Pauh pada PRU14 akan datang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Umno dan BN mempunyai 67 peratus peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14 akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian Umno berkata, keyakinan itu berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya menunjukkan rakyat di Permatang Pauh berkecil hati dengan kepimpinan PKR selama 16 tahun di kawasan itu.

“Kami boleh menang lebih 5,000 majoriti pada pilihan raya umum akan datang. Saya nak kita bekerja, memastikan kita sentiasa bersemangat untuk memastikan kemenangan BN di Permatang Pauh,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu katanya, itu hanya andaian yang dikeluarkan Umno tanpa sebarang asas yang menyokong kenyataan itu.

Katanya, walaupun PKR tidak mempunyai sebarang andaian mahupun tafsiran peratusan kemenangan pada PRU14 akan datang, namun beliau yakin kerusi Permatang Pauh akan dikekalkan.

Ditanya mengenai siapa yang akan dicalonkan di kerusi Permatang Pauh dan tiga Dun di kawasan terbabit, Amir berkata, pihaknya telah menyerahkan senarai nama kepada pimpinan PKR negeri dan ia telah dibawa kepada kepimpinan tertinggi parti untuk diputuskan siapa yang akan bertanding di kubu kuat PKR itu.

– http://www.sinarharian.com.my

.