UMNO JANGAN PERASAN DNA SAMA PAS

SHAH ALAM – Pas menasihati Umno agar tidak perasan mengatakan kedua-dua parti mempunyai DNA yang sama.

“Mungkin mereka (Umno) ingat DNA sama tapi jangan perasanlah kerana Pas tak sama dengan parti lain,” demikian sindiran Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Menurut Idris, Pas berperanan untuk menegakkan Islam secara lengkap buat seluruh rakyat di negara ini dan ia sama sekali berbeza dengan perjuangan Umno.

“Macam mana dia (Annuar Musa) boleh kata matlamat Pas dan Umno sama? Kalau sama, tak perlulah ada lagi Umno.

“Pas wujud kerana matlamat Umno tidak sama dan kami ingin menegakkan Islam secara lengkap dan bukan saja dalam bentuk ritual,” katanya.

Kelmarin, Annuar mengatakan Pas dan Umno mempunyai DNA sama dan  bakal bekerjasama selepas ini.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, Pas tidak akan mempunyai sebarang bentuk kerjasama dengan Umno malah akan menentang parti Melayu itu khususnya dalam PRU14.

“Pas memperjuangkan Islam di dunia dan akhirat malah parti ini juga turut berpolitik dengan cermat.

“Umno dengan Pas berbeza umpama seperti ikan keli dan ikan sembilang. Kedua-duanya nampak sama tapi sebenarnya lain,” katanya.

– Sinar harian

.