‘UMNO JANGAN MIMPI SIANG HARI’

KOTA BHARU – Umno sedang bermimpi di siang hari apabila membayangkan Pas akan karam di Kelantan pada PRU14 nanti dengan mendapat sokongan daripada pengundi atas pagar dan juga ahli parti ini sendiri.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Noor  Azariza Mohd Alawi, berkata, tidak semudah yang diangan-angankan oleh Umno untuk kembali mentadbir Kelantan selepas PRU14 biarpun parti itu beranggapan Pas kini sedang terumbang-ambing.

“Sudah-sudahlah Datuk Pa (Datuk Sri Mustapa Mohamed) bermimpi di siang hari. Pas belum karam, kalau kata orang atas pagar akan sokong mereka dan mereka akan memerintah Kelantan itu sudah tersasar jauh.

“Belum tentu orang atas pagar akan pilih Umno dengan timbulnya pelbagai isu sekarang ini yang membebankan rakyat, pengundi pun tahu mereka nak pilih siapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu beliau menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Masjid SMUA Istiqamah Badang yang dihadiri kira-kira 200 jemaah di sini, semalam.

Baru-baru ini Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu jentera parti itu akan mendekati golongan atas pagar, ahli dan pemimpin Pas bagi membolehkan Umno  kembali mentadbir negeri itu selepas PRU14 nanti.

Mustapa juga menganggap Pas tidak akan menjadi pilihan memandangkan parti itu kini sedang terumbang-ambing dan berlakunya pergolakan.

Mengulas lanjut, Noor  Azariza berkata, Pas diibaratkan seperti gadis sunti, ramai yang berminat untuk mendekati dan pendaftaran baharu pada tahun ini juga ramai berbanding sebelumnya.

Biarpun ada di antara pemerhati politik yang berpandangan Umno mempunyai peluang untuk mentadbir Kelantan, namun bagi Noor Azariza cita-cita itu tidak seindah yang diharapkan.

“Tengok pada program Pas, ramai yang datang bagi sokongan, NGO dan juga penyokong parti sebab mereka tahu hanya Pas yang dapat menjadi penyelamat kepada Kelantan,” katanya.

– Sinar Harian

.