UMNO GELANG PATAH NAFI GANTUNG KAIN RENTANG

GELANG PATAH – Umno Bahagian Gelang Patah menjelaskan parti itu tidak terlibat menggantung kain rentang protes terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang tetapi menyokong tindakan itu dan bercadang menambah kain rentang sebagai tanda mengucapkan ‘selamat jalan’ kepada pemimpin itu.

Ketuanya, Mohammad Khairi A Malik berkata, beliau yakin kain rentang protes berkenaan dipasang pengundi di kawasan itu yang tidak berpuas hati terhadap Kit Siang yang gagal memainkan peranannya sebagai wakil rakyat di Gelang Patah.

“Kain rentang itu bukan dipasang oleh Umno kerana kita tidak akan tulis dalam Bahasa Inggeris, saya percaya ia dilakukan pengundi yang benci terhadapnya kerana kita dapat lihat ramai yang bersorak bila dapat tahu Lim Kit Siang akan keluar dari Gelang Patah.

“Tapi kita juga akan tambah lebih banyak kain rentang untuk ucap ‘selamat jalan’ kepada Lim Kit Siang. Esok juga kita akan gantung..tiada apa hendak disorokkan,” katanya kepada pemberita di pejabat Umno Bahagian Gelang Patah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat di parlimen itu agar menolak kepimpinan DAP dalam PRU akan datang kerana rancangan Kit Siang untuk meninggalkan kerusi Gelang Patah menunjukkan taktik parti itu yang hanya mementingkan kemenangan kerusi bukan bertujuan berkhidmat kepada rakyat.

“DAP tidak meletakkan calon tempatan kerana matlamat mereka hanya mahu menang kerusi bukan untuk berkhidmat dan rakyat harus mengambil peringatan dari perkara ini dan tidak memberi peluang sama kepada mereka.

“Banyak isu tempatan khususnya di kawasan Gelang Patah yang boleh dibangkitkan di Parlimen tetapi dia (Lim Kit Siang) hanya bercakap mengenai perkara lain. Dia tidak memainkan peranan sebagai wakil rakyat Gelang Patah dan dapat gaji buta,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.