UMNO: DAP MENYUSUP PARTI PEMBANGKANG, PECAH BELAHKAN MELAYU

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mendakwa DAP kini cuba memecahkan Melayu dengan meletakkan calon pilihan mereka dalam parti pembangkang.

Dakwanya, langkah itu sebagai usaha DAP memerintah negara secara senyap dan menjadikan wakil Melayu ‘sebagai boneka’.

Jelasnya, strategi DAP kini adalah meletakkan calon mereka dalam PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“DAP akan cuba letak calon Melayu (dalam parti pembangkang) sebagai satu strategi untuk mereka mempunyai kerusi pada jumlah lebih besar dari rakan-rakan mereka.

“PKR, BERSATU dan AMANAH akan jadi junior partner. DAP telah berjaya infiltration(menyusup masuk) terhadap rakan kongsi mereka.

“Mereka telah infiltration dalam PAS dan pecahkan PAS. Mereka telah infiltration, dalam PKR ada DAP dan saya percaya mereka akan infiltrationBERSATU kerana ia adalah kaedah politik DAP,” dakwa Annuar.

Annuar berkata demikian dalam sidang media sebelum himpunan penerangan Umno di Bangunan Umno Selangor, Shah Alam.

Beliau turut mendakwa DAP cuba memecahkan masyarakat Cina MCA dan mempengaruhi ahli parti itu untuk menyertai mereka.

Selain itu katanya, DAP cuba memecahkan orang Melayu dengan menjalinkan kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Ia katanya, bagi memastikan DAP dapat menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Strategi DAP seterusnya memastikan orang Melayu berpecah. Untuk cara memastikan orang Melayu berpecah DAP terima Tun Mahthir, Anwar dan Mat Sabu walaupun DAP tahu ketiga-tiga individu ini mempunyai DNA yang berbeza dan asas yang berbeza.

“Tapi mereka mahu memastikan mahu menumbangkan BN dan perpecahan dalam orang Melayu. DNA politik itu akan mencorak sistem dan struktur dan impak dalam sistem politik implikasi sangat besar sistem politik dalam negara,” katanya.

Perkuda pemimpin Melayu

Sementara itu, pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sependapat dengan Annuar bahawa DAP telah berjaya memecah belahkan orang Melayu dengan memperkudakan pemimpin Melayu.

“DAP telah pecah belahkan Melayu dan perkudakan pemimpin-pemimpin Melayu kerana perjuangan DAP kita semua sedia maklum mahukan kesamarataan.

“DAP akan terus tidak berpuas hati dengan apa yang juga peruntukan dalam perlembagaan kita terutamanya hak-hak orang Melayu, kedudukan agama Islam dan beberapa klausa khususnya di negeri Selangor yang diberi keutamaan pada orang Melayu.

“Sebab itulah pada hari ini kita lihat DAP bukan sahaja berjaya pecah belahkan Melayu tapi juga telah berjaya mempergunakan orang Melayu bukan sahaja jadi ahli tapi jadi jurucakap DAP,” katanya.

MKINI

.