UMNO DAH ROSAK, SOGOK AHLI DENGAN DUIT: TUN M

SHAH ALAM – Presiden Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan dirinya tidak akan kembali kepada Umno walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya dijatuhkan dalam PRU14 akan datang.

Jelas Mahathir, walaupun selepas matlamat itu tercapai, beliau akan terus konsisten berjuang dalam Bersatu.

“Tidak sama sekali kerana Umno sudah rosak guna wang untuk sogok ahli.

“Kalau kita bercakap dengan orang Umno untuk berhijrah daripada Umno ke parti lain soalnya berapa ratus ribu nak beri, budaya ini sudah disemai sehingga mereka tidak boleh buat sehingga disogok,” katanya ketika Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, malam tadi.

Mahathir sebelum ini pernah menegaskan perkara yang sama kerana baginya Umno kini sudah lari daripada matlamat asal perjuangan parti yang pernah ditunjangi selama berpuluh tahun.

Mahathir sebelum ini mengambil tindakan untuk keluar dari Umno selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.

Beliau kemudian bersama beberapa bekas pimpinan Umno menubuhkan Bersatu yang kemudian menjalin kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.

– SH