UMNO BAWAH NAJIB PENGKHIANAT MELAYU, KATA MAHATHIR

Umno di bawah presidennya sekarang, Datuk Seri Najib Razak adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu dan negara amnya, kata bekas presiden parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir mengulas kenyataan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kejayaan kerajaan pimpinan Umno-BN dalam mengemudi negara.

“Apabila Muhyiddin mengaku bahawa Umno dan BN telah membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek Najib pun gembira dengan pengakuan ini.

“Bahawa kenyataan ini adalah berkenaan Umno dan BN dahulu yang memerdeka dan membangun Malaysia, tidak segan-segan diterima sebagai kepujian kepada Umno dan BN sekarang.

“Malaysia dahulu dikenali sebagai Asian Tiger. Tetapi sekarang Malaysia dikenali seluruh dunia sebagai negara rasuah yang tertinggi.

“Juga ia didakwa diperintah oleh seorang kleptokrat, iaitu pemerintahan penyamun dan penyangak yang mencuri duit rakyat,” kata penasihat BERSATU itu di blognya hari ini.

Isnin lalu, Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata kemajuan yang dilaksanakan Umno-BN, menerusi pimpinannya yang silih berganti, tidak boleh dinafikan.

Berucap di Sungai Lembing, Pahang, Muhyiddin berkata Malaysia bermula daripada sebuah negara yang tidak mempunyai apa-apa selepas merdeka.

Muhyiddin turut mengakui ‘agak janggal’ bagi orang mendengar beliau berkata demikian kerana kedengaran seolah-olah beliau masih ‘berada dalam kerajaan’.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata Umno yang dimaksudkan Muhyiddin bukan Umno pimpinan Najib sekarang.
“Umno ini (kini) dikenali sebagai kleptokrasi pimpinan penyangak dan pencuri yang memberi nama yang amat buruk kepada Malaysia di seluruh dunia.

“Umno Najib ini adalah pengkhianat kepada bangsa Melayu terutamanya dan kepada Negara amnya.

“Penyokong-penyokong Najib, sama ada dibeli atau tidak oleh Najib, tidak kurang dari mengkhianati bangsa dan negara,” kata Mahathir.

– M’kini

.