UMNO BAWA ‘RAHMAT’, KATA UMNO SABAH

KUALA  LUMPUR – Kedatangan Umno ke Sabah terbukti membawa rahmat kepada rakyat negeri itu, kata wakil Umno Sabah Bahagian Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif.

Ini kerana menurut Mohd Ariffin, sepanjang 25 tahun Umno menapak di negeri itu ia telah terbukti berjaya membawa pelbagai pembangunan kepada rakyat di negeri di bawah bayu itu.

“Umno ke Sabah bukan untuk menjajah, Umno datang Sabah untuk membawa pembangunan yang kini setelah 25 tahun ia terbukti berjaya membawa pembangunan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan  Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Oleh itu, ujarnya beliau menggesa rakyat negeri itu, agar menolak pandangan supaya Sabah ditukar pentadbiran kerana Umno sudah menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Jangan tukar pentadbiran,” tegasnya.

Katanya, Sabah berjaya berada di tahap kini kerana hubungan baik antara negeri dan kerajaan pusat.

“Di Pusat abang, di Sabah sebagai adik bongsu kepada anda semua. Alhamdulillah negeri dan pusat amat baik, Sabah tak riuh kita guna jalan rundingan,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung Umno masuk hari kedua hari ini menyambung semula perbahasan usul ucapan dasar presiden.

Seramai sembilan jurucakap lagi dijangka berucap membahaskan usul berkenaan sebelum disusuli wakil yang membawa usul ekonomi.

Perhimpunan agung kali ini menghimpunkan sebanyak 2,643 perwakilan dari 191 bahagian.

SINAR HARIAN

.