UMNO ANJUR MINI KONVENSYEN

KUALA LUMPUR – Biro Penerangan Umno bercadang mengadakan mini konvensyen bertujuan memperkukuhkan jentera penerangannya di seluruh negara dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, menjelang Perhimpunan Agung Umno 2016 bulan depan.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, cadangan yang akan dikemukakan kepada jawatankuasa pengurusan perhimpunan agung itu adalah penting supaya jentera penerangan parti dapat memperkenalkan modus operandi penerangan baharu untuk kefahaman masyarakat.

“Kita sekarang sedar kita berdepan kempen politik membenci dan ada orang cuba menyasar menjatuhkan presiden kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan melibatkan pelbagai pihak dalam dan luar negara.

“Jentera Umno akan mengambil kira semua ini untuk membuat persiapan dengan mengambil kira senario baharu ini. Itulah yang menjadi cabaran kepada gerakan penerangan masa kini dan kita tidak akan berpeluk tubuh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Biro Penerangan Umno di sini,‎ hari ini.

Menurutnya, semua anggota Umno juga perlu terus berusaha memperkukuhkan parti dalam menghadapi senario politik yang mencabar masa kini.

Annuar seterusnya berkata usaha perlu dibuat untuk mengikis tanggapan bahawa pemimpin Umno sentiasa berada dalam zon selesa.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Jalan Ipoh hari ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut isu berkaitan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau berkata, perbincangan berterusan perlu dilakukan bersama pihak yang berkaitan supaya isu berkenaan menemui jalan penyelesaian.

Katanya, kebajikan masyarakat Cina di negara ini sentiasa diberi perhatian.

– Bernama

.