Umno ada kekuatan tersendiri hadapi PRU

SHAH ALAM – Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menang pada PRU14 akan datang tanpa bergantung kepada perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Umno sejak daripada penubuhannya sudah konsisten dengan matlamat dan hala tuju.

Beliau berkata, kekuatan Umno adalah kerana ahli di peringkat akar umbi dan jentera parti yang komited.

“Umno tidak pernah peduli dengan perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang kerana Umno lebih menumpukan kepada kekuatan sendiri.

“Sama ada mereka (pakatan pembamgkang) berpecah atau tidak, itu bukan penyebab utama Umno dan BN menang pada PRU14,” katanya, semalam.

Kelmarin, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Umno mesti menang dengan kekuatan sendiri pada PRU akan datang, bukannya bergantung kepada perpecahan pembangkang.

Namun begitu, kata Sohaimi, walaupun perpecahan itu bukan penyumbang utama, peluang ini juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Umno dan BN membentuk kekuatan.

“Perpecahan mereka mencetuskan semangat kepada kami untuk lipat gandakan usaha, seterusnya membentuk laluan kemenangan mudah kepada BN,” katanya.

Katanya, setakat hari ini, pelbagai saluran digunakan untuk mendapat sokongan rakyat, tidak ketinggalan, melalui media sosial yang begitu besar impaknya terutama kepada golongan muda.

– Sinar harian

.