Ugut mangsa selepas ambil gambar dalam hotel

JOHOR BAHRU – Tiga wanita yang dipercayai anak beranak dilapor memeras wang berjumlah RM6,000 daripada seorang peniaga di sebuah hotel di Batu Pahat pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa yang berusia 63 tahun itu pada mulanya telah diajak ke hotel tersebut oleh seorang gadis yang ditemukannya di sebuah pasar raya.

“Setelah bersembang-sembang, remaja itu meminta mangsa agar menghantarnya ke sebuah hotel yang mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah bilik. Tiba-tiba muncul  dua wanita yang dipercayai merupakan kepada ibu dan kakak gadis tersebut.

“Ketiga-tiga mereka kemudian didakwa mengambil gambar mangsa di dalam bilik itu,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiganya kemudian mengugut akan menyebarkan gambar mangsa sekiranya mangsa tidak membayar mereka sejumlah RM6,000.

“Kerana takut, mangsa telah memberikan wang tersebut. Namun selang dua hari kemudian, suspek telah menghubungi mangsa dan meminta lagi RM3,000.

“Tetapi mangsa enggan memberikannya dan suspek terus mengugutnya,” katanya.

Abdul Wahab berkata mangsa yang bimbang dengan ugutan itu telah membuat laporan polis.

– Bernama

.