U-TURN SHAHRIR? ‘DANA FELDA TIDAK HILANG, KENYATAAN SAYA DIPESONG’

JOHOR BAHRU –  Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menjelaskan tidak berlaku kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam agensi tersebut.

Sambil menegaskan kenyataannya mengenai dana itu telah dipesongkan oleh beberapa portal berita, katanya beliau mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut, antaranya digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh Felda di dalam dan luar negara.

“Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka Felda dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.
“Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883
juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi,” katanya.

Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini bagi mengulas laporan beberapa portal berita yang didakwa telah  memesongkan kenyataannya berhubung dana berjumlah RM6 bilion yang diterima Felda selepas disenaraikan di bursa saham.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya sebanyak RM1.438 bilion telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, Melaka (RM304 juta), Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta), Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta), bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN) (RM225 juta) selain pembelian saham Iris Corporation Berhad (RM110 juta).

– www.sinarharian.com.my

.