TURUN NAJIB: SEMPENA TAHUN BARU, RATUSAN BERARAK BANTAH KERAJAAN

RATUSAN rakyat Malaysia berarak pada malam tahun baru di tengah Kuala Lumpur membantah pentadbiran Najib Razak dan menggesa harga minyak diturunkan pada 2018.

Peserta protes “Turun” membanjiri Jalan Tunku Abdul Rahman di depan kompleks beli belah Sogo dan mula melaungkan “Turun Minyak, Turun Najib”.

Khalayak seramai 500 orang terdiri daripada aktivis, ahli politik dan orang awam itu mula berarak menuju ke Dataran Merdeka kira-kira jam 11 malam diiringi paluan gendang.

Perarakan itu pada mulanya aman menjadi sedikit kecoh pada saat-saat akhir selepas sekumpulan anak muda berpisah daripada kumpulan besar dan cuba memasuki Dataran Merdeka. Mereka dihalang polis beberapa meter dari kawasan itu.

Kumpulan kecil itu yang dipercayai aktivis pembangkang, kemudiannya mengadakan protes duduk selama lima minit sebelum tengah malam walaupun berulang kali diminta polis supaya berundur kerana sudah melebihi tempoh masa perarakan dibenarkan.

Situasi itu menyebabkan Ketua Polis Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah memberi amaran yang beliau akan memanggil Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan mereka.

Kumpulan terdiri daripada hampir 10 orang itu kemudiannya bersurai selepas dentingan jam menandakan 12 tengah malam.

Shaharuddin sebelum itu memberitahu wartawan yang beliau sudah memberikan syarat kepada penganjur protes untuk dipatuhi.

“Saya beritahu mereka supaya bersurai pada 11.45 malam dan mereka tak dibenarkan menghampiri Dataran Merdeka. Saya juga beritahu mereka tak boleh ada gendang dan pembesar suara. Mereka jelas melanggar PAA (Akta Perhimpunan Aman 2012). Kami akan membuka siasatan ke atas mereka,” kata Shaharuddin.

Katanya, polis sudah bertolak ansur tetapi tidak bermakna beliau membenarkan semua perkara.

Penganjur, Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata protes itu berlaku secara aman seperti dijanjikan.

Keadaan bertukar sedikit kecoh apabila sekumpulan peserta protes melakukan protes duduk walaupun berulang kali diminta polis supaya bersurai memaksa polis memberi amaran akan memanggil FRU sekiranya mereka tidak bersurai. Protes duduk itu berakhir selepas jam berdenting menandakan 12 tengah malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Januari, 2018.
Keadaan bertukar sedikit kecoh apabila sekumpulan peserta protes melakukan protes duduk walaupun berulang kali diminta polis supaya bersurai memaksa polis memberi amaran akan memanggil FRU sekiranya mereka tidak bersurai. Protes duduk itu berakhir selepas jam berdenting menandakan 12 tengah malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 1 Januari, 2018.

Katanya, lebih banyak protes mungkin akan diadakan sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga minyak.

Ejen insuran, Julia Alias, 35, yang menyertai protes itu berkata dia menyertainya kerana peningkatan kos sara hidup memberi kesan kepadanya.

Selaku ibu kepada dua anak yang masih bersekolah, Julia berkata bajet kewangannya sedikit terjejas disebabkan keadaan ekonomi semasa.

“Susah sekarang ini dengan belanja naik. Kami perlu potong belanja perkara tertentu untuk penuhi keperluan lain yang lebih mendesak,” kata Julia tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Seorang lagi peserta protes, Nora Abdullah, 42, berkata dia mengetahui protes itu setelah diberitahu orang lain.

Dia aktif menyertai protes dan perarakan sejak 1998 ketika berusia hanya 23 tahun.

Pernah ditahan 13 kali oleh polis kerana pelbagai kesalahan ketika protes tidak pernah melemahkan semangatnya daripada menyertai bantahan malam tadi.

“Saya ibu tunggal lima anak. Anak-anak saya tak bersekolah. Beban saya mungkin kurang berbanding orang lain tetapi tak bermaksud saya perlu ambil mudah semua perkara. Saya di sini kerana saya terasa kesannya. Saya sangat menentang peningkatan harga (barangan dan perkhidmatan), peningkatan harga minyak, semua perkara yang membebankan rakyat. Saya bukan di sini untuk diri sendiri tetapi untuk anak cucu saya dan orang lain,” katanya.

Harga terbaru minyak yang diumumkan pada 28 Disember lalu menyaksikan penurunan satu sen untuk RON95 daripada RM2.27 kepada RM2.26. RON97 pula berharga RM2.53 berbanding RM2.54 minggu sebelumnya.

Harga diesel bagaimanapun naik tiga sen kepada RM2.26 seliter berbanding RM2.23 minggu sebelumnya. Harga ini berkuatkuasa sehingga 3 Januari depan apabila harga baru akan diumumkan untuk minggu itu pula.

Sistem harga minyak mingguan sudah dijalankan selama 40 minggu sejak ia mula diperkenalkan Mac tahun lepas.

– https://www.themalaysianinsight.com

.