TUNJUK BUKTI SAYA RASIS, KIT SIANG CABAR UMNO

Ketua Ahli-ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencabar Umno dan ejen mereka untuk meneliti ucapan dan kenyataan yang dibuat dalam tempoh 51 tahun yang lalu dan kemukakan bukti beliau ‘anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja Melayu’.

Berucap di Raub malam tadi, Lim berkata, semua kenyataan dan ucapan beliau menjadi tatapan awam dan tidak pernah disembunyikan.

“Saya tidak fikir ada lagi pemimpin politik di Malaysia yang telah dituduh selama separuh abad yang lalu, dihina dan difitnah sebagai anti-raja Melayu, anti-Melayu dan anti-Islam.

“Saya menulis dan bercakap hampir setiap hari selama 51 tahun yang lalu dalam perjuangan politik untuk perpaduan, demokratik dan keadilan Malaysia, dan setiap perkataan dituturkan secara terbuka,” kata Lim.

Sehubungan dengan itu, Lim yang menganggarkan beliau pernah menutur atau menulis kira-kira 10 juta perkataan dalam kerjaya politiknya dan tiada seorang pun di kalangan pengkritik dapat menemui bukti beliau sebagai ‘anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja Melayu”.

“Cabaran saya kepada para pemimpin Umno, ejen propaganda dan panglima perang siber untuk kemukakan bukti daripada lebih 10 juta perkataan yang saya telah tuturkan atau ditulis dalam 51 tahun yang lalu untuk buktikan saya anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja Melayu.
“Mereka dialu-alukan untuk teliti apa yang saya katakan atau tulis dalam 51 tahun yang lalu termasuk merekod kenyataan, buku, kaset dan video dengan Cawangan Khas untuk membuktikannya,” ujar beliau.

Lim menambah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dakwaan paling biasa yang dilemparkan kepadanya adalah beliau menjadi punca rusuhan 13 Mei di Kuala Lumpur dan seorang ‘komunis’.

– M’kini

.