TUNGGU, KATA PENGERUSI 1MDB KETIKA DITANYA

Pengerusi 1MDB Tan Sri Irwan Serigar Abdullah hari ini mengelak dua soalan yang berkaitan dengan firma kontroversi itu.

Soalan pertama adalah mengenai kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions mengenai skandal 1MDB sebagai “kleptokrasi paling buruk”.

“Tunggu, pada waktunya saya akan berjumpa media,” jawab Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan semasa sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Bercakap di Forum Global Mengenai Pemulihan Aset di Washington DC pada Isnin, Sessions mengatakan hampir separuh daripada kutipan rasuah AS $ 3.5 bilion (RM14.2 bilion) yang disita oleh kerajaan Amerika Syarikat datang dari saman pelucuthakan sivil berkaitan 1MDB.

Beliau mendakwa pegawai 1MDB dan rakan-rakan mereka dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk “perbelanjaan mewah” seperti AS$ 200 juta untuk membeli hartanah di California Selatan dan New York, AS$ 130 juta bagi karya seni, AS$ 100 juta dalam label muzik Amerika dan AS$ 265 juta untuk membeli kapal layar.

Sessions mendakwa pegawai 1MDB melakukan pengubahan wang haram lebih AS $ 4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga kompleks dan syarikat cengkerang dengan akaun bank di pelbagai negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Irwan juga ditanya sama ada 1MDB akan dapat membayar International Petroleum Investment Corporation (IPIC) menjelang akhir bulan ini.

“Anda tunggu dan lihat, saya akan kembali (kepada media),” jawabnya.

IPIC membuat tuntutan sebanyak AS$ 1.2 bilion daripada 1MDB.

Pada bulan April, kedua-dua syarikat mencapai penyelesaian sebelum proses timbang tara berlaku di London.

Bagaimanapun, 1MDB terlepas tarikh akhir untuk membuat bayaran pertama kepada IPIC sebanyak AS$ 602 juta pada 31 Julai.

Berikutan rundingan, IPIC telah memberikan tempoh lanjutan. Jumlah tersebut telah dibayar sepenuhnya pada 30 Ogos.

Tarikh akhir bayaran kedua sebanyak AS$ 602 juta dan kos faedah ialah pada 31 Disember.

– M’kini

.