TUNGGANG 80KM, SULTAN BERSAMA RAKYAT REBUT DUA PINGAT EMAS

SETIU, 16 Ogos -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (dua, kanan) bersama pasukan kuda lasak negara menjalani latihan di trek Terengganu International Endurance Park (TIEP) sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 hari ini. Saingan kuda lasak yang menawarkan dua pingat emas akan bermula 20 Ogos ini. -- fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA SETIU, Aug 16 -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin joins the national endurance team in a training session in preparation for the SEA Games 2017 at the Terengganu International Endurance Park (TIEP) track today. The challenge for the endurance event which offers two gold medals, will kick off on Aug 20. --fotoBERNAMA (2017) COPYRIGHT RESERVED

SETIU – Sukan kuda lasak yang berlangsung hari ini melakar sejarah tersendiri apabila Sultan Mizan Zainal Abidin akan bersama-sama lima rakyat berjuang merebut pingat emas dalam acara kuda lasak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Dua pingat dalam kategori individu dan kumpulan menjadi rebutan lima negara, bermula pukul 3 pagi.

Baginda dan kesemua penunggang akan melalui beberapa cabaran sejauh 80 kilometer dan dijangka menamatkan perlumbaan sebelum pukul 5 petang.

Lebih istimewa apabila kesemua penunggang pasukan negara adalah daripada pantai timur iaitu empat daripada Terengganu Muhammad Fuad Hashim, Mohd Bulkhari Rozali, Mohd Adhwa Embong dan Azizatul Asma Abdullah manakala Mohd Yusran Yusuf daripada Kelantan.

Pengurus pasukan Malaysia Che Mat Din Ismail berkata penyertaan Sultan Mizan itu bukan setakat melakar sejarah di Terengganu tetapi juga negara kerana inilah pertama kali Sultan Terengganu itu berkenan menyertai acara sukan kuda lasak dalam Sukan Sea.

Sultan Mizan akan menunggang kuda bernama Rtes Annaversary, Muhammad Fuad menunggang Mora Makaka, Mohd Adhwa (Mora Franka), Mohd Bulkhari (JQ Tuan Junior), Mohd Yusran (Castlebar Twilight) dan Azizatul Asma (Mora Tishaka).

Che Mat berkata Malaysia mempertaruhkan kuda terbaik yang telah serasi dengan penunggang iaitu empat ekor daripada Argentina (Mora Makaka, Mora Franka, Mora Tishaka dan JQ Tuan Junior) dan dua daripada Australia (Rtes Annaversary dan Castlebar Twilight).

Katanya kesemua penunggang telah menunjukkan komitmen tinggi dan bersedia memberikan saingan sengit kepada pesaing daripada lima buah negara.

“Penunggang Malaysia telah biasa dengan kawasan perlumbaan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) ini, namun tiada seorang pun yang mengambil mudah dengan penunggang negara lain.

“Kami telah memulakan latihan awal dan kebanyakan atlet telah didedahkan dengan pelbagai kejohanan peringkat dunia malah ada di antaranya berjaya menjuarai pertandingan tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Selain Sultan Mizan, gadis kecil molek Azizatul Asma, 21, juga dijangka mencuri tumpuan kerana menjadi penunggang wanita pertama negara dalam acara tersebut.

Beliau yang menunggang kuda bernama Mora Tishaka pernah menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan sejauh 120 kilometer pada 2013 dalam FEI World Endurance For Young Riders and Junior di Uruguay.

— Bernama

.