TUN MAHATHIR SEBAGAI PERDANA MENTERI

1. Saya biasanya tidak bercakap tentang isu-isu besar berkaitan pembangkang kerana para pengkritik saya akan cepat membidas, “Dia bukan pemimpin pembangkang” atau “Apa yang dia tahu?” Sejak saya menulis dalam blog sendiri, saya sebenarnya tidak peduli sesiapa. Mereka suka atau tidak, ia sama saja.

2. Selepas PRU 13, kedua-dua BN dan PH telah menukar rakan masing-masing. PAS kini bekerjasama dengan UMNO, manakala Bersatu dan Amanah telah menggantikan tempat Pas dalam PH. PRU 14 tidak lagi sama seperti PRU 13.

3. Kerjasama UMNO-Pas akan menjadikan mereka kuat. Mereka dengan mudah boleh mengalahkan pembangkang. Sementara UMNO menunjukkan sikap lunak dengan pemimpinnya sedia memeluk dan mencium tangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pembangkang sebaliknya masih bertelagah tentang siapa calon PM mereka. Semalam, ada pemimpin Bersatu mengadakan undian di media sosial untuk memilih calon PM bagi PH, tetapi nama Tun Mahathir Mohamad tidak tersenarai sama-sekali. Jelas, pemimpin Bersatu yang berbuat demikian pro kepada Muhyiddin Yassin.

4. Ketika BN dengan PAS mula bersatu dan Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai pemimpin yang berani membuat keputusan berkaitan isu-isu besar dengan cepat seperti memberi laluan kepada pembentangan Akta 355, malangnya PH masih tidak berani mengumumkan bakal calon PM mereka.

5. Dari segi ini, PH gagal memberi inspirasi kepada keyakinan rakyat. Meskipun PH telah mewujudkan pelbagai jawatan dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengerusi, ada penasihat dan banyak jawatan lain dalam carta, tetapi tidak diletakkan satu jawatan paling penting – calon PM bagi PH. Mungkin carta itu mahu mewujudkan tafsiran sama seperti dalam BN di mana Pengerusi BN ialah Perdana Menteri, maka Dr. Wan Azizah juga bakal Perdana Menteri jika PH mencapai kemenangan nanti. Tetapi, kelihatannya seperti Bersatu dan banyak orang lain tidak menerima hakikat itu.

6. Jika PH sebenarnya tidak mempunyai calon untuk diberitahu kepada pengundi, ia adalah sesuatu yang pelik dan sukar dibayangkan. Ia menunjukkan mereka tidak berani membuat sesuatu keputusan walaupun pada perkara yang paling asas. Pernahkah mereka mengadakan perbincangan terbuka tentang siapa yang boleh mengoptimumkan peluang pembangkang untuk memenangi pilihan raya? Siapa yang boleh menarik dan meyakinkan peneroka Felda yang menguasai 54 kerusi Parlimen untuk beralih daripada menyokong kerajaan kepada pembangkang?

7. Ini bukanlah jenis pakatan yang boleh mendatangkan keyakinan pengundi. Mereka yang dipilih sebagai calon PM tidak seharusnya dari kalangan seseorang yang kita mahu, tetapi dialah yang akan pergi sebagai ketua ke medan pertempuran PRU 14 akan datang.

8. Bagi saya, terdapat hanya satu peluang kecil untuk pembangkang memenangi pilihanraya umum akan datang iaitu dengan mereka memujuk Tun Mahathir untuk bersetuju dipilih sebagai calon Perdana Menteri kerajaan baru nanti.

9. Mengapakah Najib dan seluruh jentera propaganda terus bekerja dengan gambaran yang mengatakan orang Cina akan menguasai negara ini Lim Kit Siang adalah kuasa sebenar di balik tabir PH? Ia adalah kerana kita tidak mampu untuk menangani propaganda itu dengan berkesan. Sekadar memberitahu orang Melayu yang Lim Kit Siang tidak berminat untuk menjadi PM tidak mampu menutup kebimbangan mereka.
Bagaimana jika Najib boleh meyakinkan orang Melayu bahawa Lim Kit Siang adalah sebenarnya mengawal PM yang ditetapkan itu? Itulah kebimbangan mereka. Sebaliknya, jika Tun Mahathir sebagai calon PM, semua itu tidak perlu diberitahu lagi kerana umum tahu tidak mungkin ada orang lain boleh mengawal beliau. Inilah yang orang Melayu mahu dengar.

10. Hanya Tun Mahathir yang boleh meyakinkan orang Melayu dan peneroka Felda dan menjadikan pertukaran kerajaan menjadi kenyataan. Jika ini tidak berlaku, pembangkang akan terus jadi pembangkang selama bertahun-tahun akan datang. Jangan lupa bahawa pilihanraya di negara kita banyak ditentukan oleh peneroka dan mereka yang berada di kawasan luar bandar. Jika gagal memahaminya, pembangkang akan kalah selama-lamanya?

11. Sesetengah mereka yang ingin melihat perubahan dan pembaharuan masih mencurigai Tun Mahathir. Timbul persoalan, adakah beliau akan memberi kebebasan dan kesaksamaan? Adakah beliau akan berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia? Saya fikir kita perlu yakin dengan Tun Mahathir, tetapi yang lebih penting ialah beliau ada kemampuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, meski sudah berusia 92 tahun. Beliau adalah pemimpin yang boleh dipercayai untuk terus bekerja untuk kita.

12. Kita juga mesti belajar satu perkara – ia akan melalui beberapa pilihan raya untuk kita sedar semua perkara yang kita mahu dan juga perlu melalui beberapa kegawatan politik sebelum kita boleh mempunyai demokrasi yang betul dan mewujudkan semula kedaulatan undang-undang dalam negara ini.

13. Urus tadbir yang baik dan etika kepimpinan akan mengambil masa untuk menjadi kenyataan, bukan dengan serta-merta selepas PH memperolehi kuasa. Selepas revolusi Perancis, sebagai contoh, ia mengambil masa 50 tahun dalam perbalahan sivil sebelum Perancis mencapai kestabilan, persaudaraan dan kesaksamaan. Begitu juga dengan Iran, ia mengambil masa sekitar 30 tahun selepas revolusi yang digerakkan oleh Khomeini sebelum Iran muncul sebagai negara yang teratur dan stabil.

14. Di Malaysia, kita belum mempunyai pengalaman bertukar kerajaan secara aman. Kita juga tiada pengalaman apa akan terjadi jika UMNO dijatuhkan. Adakah mungkin ia berlaku tanpa keganasan? Kita tidak mahu keganasan seperti yang berlaku di Indonesia dan Filipina. Kita juga tidak mahu tentera campurtangan seperti Thailand. Kita turut tidak tahu sama ada Raja-Raja Melayu akan terlibat atau tidak. Hakikatnya banyak perkara yang kita tidak tahu.

15. Menyingkirkan UMNO daripada kuasa adalah lebih daripada sekadar kiraan jumlah undi. Ia juga lebih daripada hanya berceramah, melaung reformasi atau bergantung kepada nostalgia. Kita memerlukan pemimpin yang boleh memberi jaminan tentang peralihan kuasa secara aman dan kesan daripada perubahan tersebut. Ia adalah jelas hanya Tun Mahathir yang mampu memimpin kita.

16. Mengapa tidak mereka yang dipanggil reformis dan pemimpin pembangkang sedia membuat pengorbanan dan menerima hakikat bahawa pilihan raya ini adalah berkaitan pertempuran Dalam UMNO. Oleh itu, dengan memberi Bersatu jumlah kerusi yang munasabah dan menjadikan Tun Mahathir sebagai calon PM, ia akan membuatkan ahli-ahli UMNO bertelagah sesama sendiri. Itu saja ruang untuk PH menang.

17. Semua kita perlu melakukan pengorbanan dan ia tidak perlu diberikan ganjaran atau diingati kemudiannya. Matlamat utama ialah memastikan BN dapat dikalahkan dan jika ia berjaya, itulah ganjaran daripada pengorbanan yang dilakukan.

18. Jika semua orang mahu diberi ganjaran atas pengorbanannya dan seseorang proksi mesti diletakkan dalam kepimpinan atas sebab nostalgia atau sentimen, saya takut kita tidak akan menang kali ini. Dalam setiap pertempuran, matlamat selalunya terhad dan kemenangan adalah untuk mencapai semua objektif tersebut secara selangkah demi selangkah.

19. Adakah PH masih percaya ia mempunyai segala yang diperlukan untuk memenangi pilihanraya jika Dr. Wan Azizah atau sesiapa yang lain yang berada dalam carta kepimpinan PH dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri?

20. Adakah ia bernilai? Walaubagaimanapun, saya tetap mengatakan – “Di sini ada seorang yang berusia 92 tahun yang mampu membuat kerja-kerja paling sukar untuk menjadi PM dan dihormati. Menamakannya sebagai bakal PM adalah penghormatan yang akan memastikan kemenangan.

– http://www.zaid.my/

.