TUN MAHATHIR: SAYA KINI ANCAMAN NEGARA

SAYA kini ancaman kepada negara, kata Dr Mahathir Mohamad, sambil menarik perhatian kepada peningkatan siasatan terhadap pentadbirannya dan keganasan politik di Malaysia.

“Orang tidak lagi selamat. Saya sekarang ancaman kepada negara.

“Jadi selongkar balik tiga dekad lalu dan bangkitkan semula jenayah yang boleh disalahkan pada saya.

“Kalau ini gagal mencapai maksud untuk memburuk-burukkan saya, maka kita akan lihat lebih banyak lagi keganasan,” tulis bekas perdana menteri itu di blog Chedet, hari ini.

Dr Mahathir sejak beberapa bulan lalu berdepan serangan daripada barisan pemimpin Umno selepas beliau menarik sokongan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan keluar daripada parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun itu ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad.

Menurut Dr Mahathir, negara kini sudah masuk ke fasa baru yang menyaksikan penyokong Najib akan memastikan tiada penentangan terhadap kepimpinannya.

“Nampaknya akan ada lebih banyak samseng untuk rakyat Malaysia. kita sekarang dapat laporan pemimpin Hindraf, Waythamoorty dipukul dan diancam dengan pisau oleh samseng kerana tidak sokong kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir juga mempersoalkan pemimpin Umno yang tidak hadir pada forum Nothing to Hide 2.0 yang cepat menyalahkan Armada, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, parti yang kini beliau pimpin.

“Kalau mereka ada, kenapa mereka hendak merusuh kalau jelas forum itu tidak memihak pada Najib. Mereka merusuh apabila soalan yang ditanya tidak juga mendapat jawapan yang memihak pada mereka. Jelas, mereka merusuh untuk menghentikan forum, untuk melindungi Najib.

“Oleh sebab mereka terang-terang pro Najib dan tidak berjaya memalukan saya, mereka tidak mungkin datang daripada parti yang saya terajui.

“Pemimpin Umno boleh cuba nafikan samseng ini daripada Umno ttepi hakikatnya mereka penyokong Najib yang juga presiden Umno,” kata Dr Mahathir.

Beliau menambah walaupun polis berhak menyiasat penganjur forum, ketua polis negara tidak wajar menggunakan bahasa mengugut  terhadap mereka dengan membayangkan mereka bersalah tidak patuh syarat polis.

Katanya, polis sepatutnya memanggil pihak penganjur untuk soal siasat sekiranya mereka terlibat dan polis mesti mendengar cerita daripada pihak mereka.

“Rusuhan itu dirakamkan dalam video. Daripada rakaman muka perusuh itu boleh dikenal pasti siapa mereka dan apa yang mereka buat,” kata Dr Mahathir.

– https://www.themalaysianinsight.com

.