TUN MAHATHIR MUNGKIN TIDAK SERTAI BERSIH 5

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak dapat menghadiri perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu kerana lawatan ke luar negara.

“Pada 19 November, berdasarkan rancangan yang dibuat sebelum ini, saya akan berada di luar negara pada hari tersebut,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu temu bual radio yang telah dirakam bersama aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Dr Mahathir, bagaimanapun, menyatakan sokongan beliau terhadap Bersih 5 dan menyeru semua rakyat Malaysia dan parti-parti pembangkang untuk menyokong perhimpunan tersebut.

“Setiap parti pembangkang termasuk Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mesti menyertai perhimpunan Bersih untuk membersihkan pilihan raya. Apabila ia tidak bersih, tidak memberi sebarang makna,” katanya.

Wawancara itu disiarkan di laman web Radio Bangsar Utama pada pukul 9 malam Rabu.

Dalam video terdahulu pada pagi Rabu, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan dengan menyertai Bersih di Dataran Merdeka dan tempat-tempat lain.

“Saya harap semua rakyat Malaysia akan mengambil bahagian dalam demonstrasi oleh Bersih,” katanya dalam video dua minit itu.

MSTAR

.