TUN M, WAN AZIZAH LAYAK SEBAB PENGALAMAN LUAS

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpandangan, pengalaman luas sebagai ahli politik melayakkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi sebagai Penasihat Jawatankuasa Protem Pakatan Harapan.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman, Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Kekuatan Mahathir pastinya daripada pengalaman luasnya itu. Beliau masih ada pengaruh.

“Ini pastinya berguna untuk Pakatan Harapan dalam menampilkan satu pakatan pembangkang yang boleh menjadi alternatif pada BN sekarang,” ujarnya, semalam.

Katanya, Wan Azizah juga berpengalaman dalam menyatukan pembangkang dan menjadi proksi kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga suaminya.

“Di atas faktor inilah mereka boleh diangkat sebagai penasihat,” ujarnya merujuk pelantikan Mahathir dan Wan Azizah sebagai Penasihat Jawatankuasa Protem Pakatan Harapan seperti diumum pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Isnin lalu.