Tun M: Tanpa si ‘korup’ pun, Umno tiada masa depan

Liku politik Tun Dr Mahathir Mohamad memang sukar dibaca dan penuh warna-warni – daripada pengkritik Tunku Abdul Rahman kepada perdana menteri lebih dua dekad.

Justeru, walaupun seperti berpatah arang berkerat rotan dengan Umno, banyak pihak masih mencongak kemungkinan beliau kembali ke pangkuan parti Melayu itu.

Ini kerana, Mahathir sebelum ini dalam kempen-kempennya hanya menyasarkan serangan pada sosok Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan Umno-BN.

Soalnya, adakah mungkin Mahathir kembali pada Umno jika Najib bukan lagi orang nombor satu parti itu, seperti ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur pada 2009?

“Tidak, saya tidak fikir begitu.

“Saya sudah lepas tahap itu,” katanya tegas dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lepas.

Beliau malah beranggapan, parti yang dianggotai lebih 60 tahun itu, kini sudah melepasi tahap boleh diselamatkan, walaupun “pemimpin korup” berundur?

Dalam wawancara kira-kira 20 minit di Putrajaya it, Mahathir juga keberatan menamakan secara langsung siapa yang dipercayainya untuk mengepalai negara ini.

Bercakap soal Muhyiddin, yang memimpin serpihan Umno Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU), Mahathir hanya berkata beliau yakin bekas timbalan Najib itu akan dapat memimpin parti.

Bagaimanapun, kelihatan berhati-hati, pemimpin 91 tahun itu berkata, bab memimpin negara, itu soal yang lain.

Soalan: Kenapa BERSATU ada pengerusi dan presiden?

Mahathir: Kita tidak mahu tumpukan kuasa pada seorang individu. Jika tidak, jika ada salah guna kuasa, majlis (tertinggi) tidak mampu membendungnya.

Jadi lebih baik ada sebuah badan dipengerusikan oleh seorang pengerusi, yang akan menyeimbangkan kuasa presiden.

Ada orang tuduh Tun cuba kekang Muhyiddin dengan jadi presiden?

Itu biasalah orang kata. Tapi saya sudah terlalu tua untuk kawal orang. Tetapi saya percaya bekerjasama dua orang lebih baik berbanding usaha seorang.

Ada orang kata Muhyiddin tidak mampu pimpin parti. Boleh BERSATU hidup tanpa Tun?

Saya rasa BERSATU boleh hidup. Sudah tentu Muhyiddin ada di situ tetapi tidak bermakna dia akan kekal jadi presiden.

Kita akan buat pemilihan dan terpulanglah kepada anggota-anggota untuk tentukan sama ada beliau mampu teruskan atau tidak. Kita parti yang demokrasi.

Tun rasa Muhyiddin mampu memimpin?

Saya rasa buat masa ini, dengan sokongan diberikan, beliau boleh memimpin, (berhenti sekejap) parti. Sama ada beliau boleh pimpin kerajaan itu soal lain.

Apa peranan Mukhriz dalam parti?

Dia anggota parti dan jika dia dipilih untuk sebarang jawatan, dia ada hak bertanding. Dan jika dia terpilih dia terpilihlah.

Ada yang kata Tun mahu jadi menteri mentor macam mendiang Lee Kuan Yew.

Saya tidak ada cita-cita jadi menteri, menteri kanan atau menteri mentor atau apa pun.

Annuar Musa kata jika Mukhriz mahu jadi perdana menteri dia boleh balik pada Umno.

(Ketawa kecil) Saya rasa Umno tak akan hasilkan perdana menteri selama-lamanya.

Selain Muhyiddin, siapa yang Tun lihat mampu pimpin negara ini?

Ada banyak orang yang tidak dibenarkan masuk Umno khususnya. Sebab pemimpin Umno takut orang lebih baik daripada mereka masuk parti dan singkirkan mereka.

Pemimpin Umno makin hari jadi kurang dan kurang berkemampuan kerana mereka hanya benarkan orang kurang berkemampuan masuk parti.

Dan bila mereka mati, parti akan dipimpin oleh pemimpin yang lebih teruk. Dan bila orang itu pula mati, kualiti kepimpinan terus jatuh.

Boleh Tun namakan seseorang secara khusus yang Tun lihat boleh jadi pemimpin untuk negara ini?

Saya tidak boleh sebut secara khusus tetapi kita ada ramai orang yang minat masuk Umno contohnya, (tetapi) mereka ini disekat daripada masuk Umno.

Malah, Mukhriz pun dulu tidak dibenarkan masuk Umno.

Jadi saya harap bila kita tubuhkan BERSATU, mereka ini akan sertai kita kerana kita tiada sekatan terhadap kemampuan (mereka).

Ada nampak sesiapa dari kalangan orang muda untuk jadi pemimpin?

Saya tidak akan namakan mereka tetapi saya fikir mereka lebih terdidik daripada pemimpin sedia ada.

Bila orang muda ini berkuasa, patutkah mereka rujuk pada generasi lebih tua?

Generasi tua akan pergi. Mereka akan mati. Tidak ramai akan akan terus hidup. Mereka yang umur macam saya, berapa lagi yang tinggal? Mereka akan jadi tidak berupaya atau meninggal dunia.

Anak Tun, Mukhriz, cadang bataskan tempoh perjawatan perdana menteri kepada dua penggal. Tun sokong?

Ini trend seluruh dunia. Ada yang bataskan kepada sepenggal, ada yang dua penggal.

Tetapi apa yang penting, perdana menteri harus diberikan masa untuk berfikir, untuk faham kerjanya, untuk gubal dasar-dasar dan laksanakannya.

Dalam kes saya, saya ada 22 tahun dan oleh itu saya ada banyak masa untuk buat dan teliti semula apa yang telah dibuat.

Tetapi saya fikir jika seseorang itu terlalu lama (pegang jawatan), dia mungkin salah guna kuasa.

Dalam kes saya, saya putuskan letak jawatan, tanpa tekanan daripada sesiapa.

Tun tidak rasa cadangan ini ironik, memandangkan Tun sebagai perdana menteri paling lama di Malaysia?

Saya rasa Mukhriz sandarkan pada kejayaan saya. Pada masa saya, saya tidak dengar sesiapa pun suruh saya berundur. Saya letak jawatan sendiri.

Tetapi sekarang orang ramai mahu perdana menteri letak jawatan sekarang, jika boleh sebelum penggal pertama tamat. Ini kerana soal pencapaian (perdana menteri).

Jika pemimpin korup berundur, Umno boleh diselamatkan?

Ia tidak boleh diselamatkan lagi. Orang ramai sudah benci padanya.

Tun ada pertimbang untuk balik selamatkan Umno jika pemimpin-pemimpin sebegitu berundur?

Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya sudah lepas tahap itu.

Tun menyesal tinggalkan Umno?

Saya memang kesal, kerana ia parti saya. Saya jadi anggota sejak tahun 1946. Saya malah pernah jadi presidennya. Tidak mudah untuk saya putuskan untuk tinggalkan parti itu.

Tetapi ia kini menjadi parti yang berbeza, bukan Umno asli yang diasaskan oleh tokoh pengasas-pengasnya.

Tun faham sekarang kenapa bekas-bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn yang tinggalkan parti?
Mereka sebenarnya tidak tinggalkan parti. Mereka anggota parti itu. Tetapi bila saya tubuhkan Umno baru (selepas Umno diharamkan pada 1988), mereka tidak masuk semula. Itu saja.

Tun faham sekarang kenapa mereka putuskan tidak masuk semula Umno?

Saya rasa situasi tidak sama. Saya tidak curi duit, saya tidak buat apa-apa salah.

Tetapi mereka ada hak untuk tidak sokong saya secara langsung atau bersama parti-parti lain.

– M’kini

.