TUN M: ‘TAK PERLULAH BELI KARPET MERAH UNTUK SAYA…’

PUTRAJAYA – “Tak perlulah belanja duit beli karpet merah,” berikut komen diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Menurutnya, beliau hanyalah orang biasa sahaja dan bukannya orang kenamaan untuk dilayan sedemikian rupa.

“Saya bukan orang kenamaan, hanyalah orang bawahan sahaja yang biasa berjalan kaki tidak memakai kasut.

“Kalau saya jalan atas selut pun boleh,” katanya ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Sebelum ini, Nazri mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan kehadiran Mahathir  di satu Majlis di Padang Rengas malah turut mendakwa mahu membentangkan karpet merah untuk menyambutnya.

Nazri yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Rengas turut mencabar Mahathir bertanding di Parlimen tersebut pada PRU14.

Menjawab ‘pelawaan’ Nazri, Mahathir meminta agar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu menggunakan duit tersebut untuk perkara yang lebih baik.

“Gunalah duit itu (karpet merah) untuk belanja bagi pada orang lain,” katanya lagi.

– SH

.