Tun M, pilih tunggang kuda selepas pulih

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru pulih sepenuhnya daripada penyakit jangkitan dada memilih untuk meluangkan sedikit masa menunggang kuda pada hari ini.

Negarawan yang berusia hampir 92 tahun itu, memilih untuk menunggang di kawasan Ekuestrian, sekitar Bukit Kiara.

“Tun M, mengisi masa lapangnya dengan menunggang kuda setelah pulih sepenuhnya. Beliau kelihatan menikmati kawasan hijau serta kemudahan laluan kuda yang telah dibaik pulih dan agak mencabar khasnya pada musim hujan,” kata sumber terdekat bekas perdana menteri itu kepada Sinar Online.

Di fahamkan, setiap kali hujung minggu sekiranya ada masa terluang Mahathir akan menghabiskan masanya dengan aktiviti menunggang kuda.

Terdahulu Mahathir yang dimasukkan ke  Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Ogos lalu telah di benarkan keluar daripada institut itu pada 15 Ogos.

Beliau bagaimanapun meneruskan sesi fisioterapi dan rawatan di rumahnya.

Mahathir sebelum ini disahkan sedang menjalani rawatan fisioterapi, selain turut menjalani latihan fizikal secara rutin.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN pada 16 November 2013 atas penyakit sama tetapi dibenarkan keluar beberapa hari selepas itu setelah mendapat rawatan.

Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan koronari di Hospital Kuala Lumpur, 27 tahun yang lalu pada 24 Januari 1989 dan pembedahan pintasan koronari susulan pada 4 September 2007 di IJN. – Sinar Harian

.