Tun M: Masih terlalu awal umum calon PM

PETALING JAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap masih terlalu awal bagi pembangkang mengumumkan calon Perdana Menteri (PM) dan juga Kabinet bayangan buat masa ini.

Katanya, mesyuarat bersama parti-parti pembangkang perlu diadakan terlebih dahulu sebelum calon PM diumumkan pembangkang untuk berdepan BN pada PRU akan datang.

“Saya mahu kita adakan mesyuarat agung terlebih dahulu (dengan setiap parti pembangkang) sebelum PRU.

“Kemudian baru kita akan buka kepada pencalonan calon,” katanya dalam temu bual ekslusif bersama Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya lagi, sekiranya Bersatu memenangi pilihan raya bagi pihak pembangkang, pihaknya akan bermesyuarat sekali lagi untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan dalam Kabinet dengan rakan parti pembangkang lain.

“Ia terpulang kepada ahli-ahli untuk memilih sesiapa jua yang dianggap layak untuk memegang jawatan tersebut,” katanya lagi.

Baru-baru ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya pembangkang tampil dengan calon perdana menteri dan kabinet bayangan sebelum PRU14 untuk mendapatkan keyakinan rakyat untuk mengundi.

Cadangan itu kemudiannya mendapat reaksi daripada parti pembangkang yang mahu calon dipilih mengikut kehendak perlembagaan iaitu Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad sebelum ini dipetik sebagai berkata, Pakatan Harapan telah memutuskan bahawa bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri yang dipilih sekiranya pembangkang menang dalam PRU14.

“Ini bererti sesiapa pun yang memegang jawatan tersebut selepas sahaja PRU14, ia hanya sementara sehingga Anwar dibebaskan dari hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

“Tetapi ini semua akan ditangani melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang disertai Bersatu dan Pas sekiranya bersetuju untuk bersama dari semasa ke semasa,” beliau dipetik sebagai berkata.

– Sinar Harian

.