TUN M JADI PENASIHAT PH, TAPI KIT SIANG PULA YANG DICELA…PEMIMPIN UMNO DAH MULA RESAH KE?

Sehingga ini sekurang-kurangnya tiga pemimpin tertinggi UMNO yang jelas tidak lagi dapat menahan kerisauan di hati berikutan perlantikan Tun Mahathir Mohamad bersama Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai penasihat protem Pakatan Harapan.
Mereka ialah Salleh Said Keruak, Noh Omar dan Ismail Sabri Yaakob. Mungkin selain mereka, ramai lagi yang turut berkongsi kebimbangan yang sama, tetapi tidak meluahkannya secara terbuka.
Masing-masing bagaimanapun cuba menyembunyikan risau hati mereka dengan mengatakan Lim Kit Sianglah yang sepatutnya dilantik menerajui gabungan parti-parti pembangkang yang bakal didaftarkan secara rasmi itu.
Hujah kuno mereka tidak lain kerana DAP memiliki kerusi terbanyak, selain dikatakan Lim Kit Siang menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada Tun Mahathir hanyalah untuk memperdaya orang-orang Melayu sedangkan hakikatnya parti itulah yang paling berkuasa sekali dalam Pakatan Harapan.
Lantaran itu, kata mereka, untuk membuktikan kejujurannya, Lim Kit Siang mesti berani menuntut jawatan tersebut?
Tidakkah mereka sebenarnya sedang resah dan gelisah, lalu dilihat seolah-olah “gila” dalam kenyataan yang dikeluarkan?
Tun Mahathir yang dapat jawatan, tetapi Lim Kit Siang yang murah hati dan tidak tamak jawatan pula yang dicela?
Kenapa tidak Tun Mahathir yang diserang dan diperlekeh?
Hakikatnya, dengan keputusan parti-parti pembangkang meletakkan Tun Mahathir sebagai penasihat Pakatan Harapan bersama Dr. Wan Azizah, ia adalah satu lagi langkah yang bakal memendekkan usia Najib Razak, UMNO dan BN di persada kuasa mentadbir negara ini.
Tun Mahathir, dengan rekod cemerlangnya  mampu mencipta kejayaan dalam situasi paling sukar sebagaimana yang dbuktikannya sepanjang 22 tahun berkuasa, kini sedang merintis satu lagi sejarah yang secara totalnya adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.
Apatah lagi dengan rekod buruk Najib yang dilihat hanya sinonim dengan pelbagai skandal, ditambah kegemarannya mendatangkan susah dan sengsara kepada rakyat jelata, kelebihan nyata memihak kepada Tun Mahathir.
Dalam mana-mana sejarah dunia pun, apabila rakyat mula susah dan sengsara sementara yang berkuasa terus boros dan bermewah tanpa hadnya, kejatuhanlah balasannya.
Di Malaysia, ia semakin hampir menjadi kenyataan.
UMNO, BN serta sekalian para pemimpinnya tahu dan sedar banyak kelebihan berada pada Tun Mahathir berbanding Najib. Gambar dan poster-poster besar Tun Mahathir sepanjang kempen PRU 14 nanti pasti akan lebih memikat hati rakyat dan dengan sendirinya menenggelamkan wajah Najib yang suram dan tak bermaya.
Mereka gelisah kerana kuasa dalam di tangan bila-bila masa akan terlepas daripada genggaman. Mahu menyerang Tun Mahathir secara  terbuka dan terang-terangan, takut simpati lagi melimpah ruah.
Lalu Lim Kit Sianglah dijadikan sasaran. Sebenarnya Kit Siang ini begitu baik, murah hati dan budiman kerana tidak tamakkan jawatan. Beliau memahami erti perkongsian kuasa dan realiti sebenar masyarakat di negara ini.
Salahkah sikap Kit Siang itu?
Salleh Said Keruak, Noh Omar dan Ismail Sabri tentunya mengharapkan Lim Kit Siang dilantik mengetuai Pakatan Harapan hanya untuk membolehkan mereka melakukan serangan lebih terbuka dan terus mendendangkan lagu-lagu perkauman bagi meracuni pemikiran rakyat bagi kekal berkuasa.
Kini dengan Tun Mahathir dan Dr. Wan Azizah secara bersama mengetuai Pakatan Harapan, bukannya Kit Siang, matilah segala idea mereka. Lagu perkauman boleh jadi tidak lagi diminati dan bakal menjadi kaset usang semata-mata.
Maka, mereka jadi “gila” menyerang dalam bentuk yang lain pula. Sebetulnya, kematian sudah semakin dekat menghampiri mereka.
ShahbudinHusin