‘TUN M HANTAR ORANG AJAK SAYA SERTAI BERSATU’

KEMAMAN – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini menyatakan kesetiaannya untuk terus bersama Umno dan tidak‎ menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad, 59, yang menyertai Umno sejak berusia 18 tahun, berkata setakat ini beliau mahu terus berkhidmat untuk Umno tetapi tidak pasti sampai bila mampu bertahan dan berharap tiada pihak terus mempertikai serta mencabar kesetiaannya kepada parti.

“Tun Mahathir Mohamad, telah menghantar orang untuk berjumpa dengan saya untuk mengajak masuk Bersatu. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menawarkan kepada saya untuk menjadi Ahli Mesyuarat Tertinggi Bersatu.‎

“Setakat ini, saya nak tengok dulu. Saya tak jawab lagi…tetapi tidak tahulah sampai bila, kalau desakan bertalu-talu saya takut saya tidak dapat‎ bertahan,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman, di sini.

Ahmad, yang juga Adun Kijal, berkata selain Bersatu, beliau pernah ditawarkan menganggotai parti Pas, PKR dan Amanah, namun menolak kerana tidak mahu mengkhianati Umno.

Kata Ahmad, beliau tekad untuk terus kekal bersama-sama Umno bagi melihat perubahan yang bakal dilakukan Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut politik di Terengganu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Najib telah memanggil beberapa orang Adun untuk mendengar sendiri apa masalah yang membelenggu negeri ini.

“Najib janji untuk mengadakan perubahan. Saya masih lagi ahli Umno…saya tidak berdendam cuma jangan kejutkan harimau yang sedang tidur,” katanya yang turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memandang rendah kepada kemunculan parti baharu. – Bernama

.