TUN M DIYAKINI KUKUHKAN PAKATAN HARAPAN

KEMASUKAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan dilihat telah mengukuhkan pakatan pembangkang itu setelah ketiadaan Pas.

Menurut penganalisis politik, Dr Phoon Wing Keong, kepimpinan bekas perdana menteri sudah tentu amat dihargai dalam Harapan, lebih-lebih lagi bagi menarik sokongan pengundi Melayu.

“Sekiranya Mahathir tidak tubuhkan Bersatu dan menyertai Harapan, kemungkinan Harapan amat lemah pada hari ini.

“Pada 2015, Pas meninggalkan Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan parti-parti pembangkang dilihat kehilangan tenaga.

“Bagaimanapun, penubuhan Bersatu pada 2016 dan menyertai  Harapan pada tahun ini telah  kembali memberikan semangat baharu kepada parti-parti pembangkang yang lain,” katanya seperti dipetik dalam Oriental Daily.

Menurut Wing Keong, dengan kewibawaan yang ada pada Mahathir, beliau meramalkan sekurang-kurangnya lima peratus undi Melayu akan diberikan kepada Bersatu pada PRU14.

“Secara keseluruhannya, Mahathir dan Bersatu mampu mengubah situasi dalam PRU14 dan menguntungkan Harapan.

“Walaupun beliau sudah berusia 92 tahun, tetapi penampilan amat diperlukan,” katanya.

Beliau turut meramalkan punca Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan PRU14 yang sepatutnya diadakan tahun ini disebabkan oleh faktor Mahathir.

– Sinar Harian

.