‘TUN M CUBA TANAM SYAK WASANGKA AHLI UMNO’

KUALA LUMPUR – Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  memohon  sokongannya bagi  menjatuhkan  Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu lagi percubaan beliau untuk menanam syak wasangka dalam kalangan ahli Umno.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata ia sama seperti dakwaan pengerusi Pakatan  Harapan itu kononnya RM42 bilion wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  hilang atau lesap, semata-mata mahu mengapi-apikan dan membangkitkan kemarahan ahli Umno.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anggota parti supaya tidak terperangkap dengan strategi musuh, khususnya Pakatan Harapan yang berterusan cuba mewujudkan keretakan dalam Umno, meskipun usaha-usaha itu terbukti gagal sehingga kini.

“Alhamdulillah, ahli Umno tetap terus kental dengan istiqamah dan solidariti serta tidak mudah terpesong dengan tipu muslihat Tun M,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Dr Mahathir men­dakwa Ahmad Zahid pernah menemuinya selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk memohon sokongan, kononnya untuk menggantikan Perdana Menteri.

Annuar berkata jika Dr Mahathir begitu mudah membohongi rakyat, dulu atau sekarang, tiada ada apa yang menghalangnya untuk terus menghalalkan pembohongan sebagai strategi politiknya.

– Bernama

.