TUN M BERI AMARAN: APANDI BOLEH DIDAKWA SOROK BUKTI JENAYAH

PEGUAM Negara Apandi Ali boleh didakwa menyembunyikan bukti jenayah berhubung skandal syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri Malaysia ke-4 yang paling lama berkhidmat itu berkata selama 22 tahun beliau mentadbir negara, Akta Rahsia Rasmi (OSA) merujuk kepada rancangan Kabinet yang tidak didedahkan atau rancangan pembangunan kerajaan yang belum diwar-warkan lagi, tetapi tidak kepada jenayah.

“Saya bukan peguam. Tapi saya tahu jenayah bukan OSA. Dan bila ia jenayah, kena lapor bukan kena sembunyi.

“Peguam negara lakukan kesalahan besar sembunyikan bukti jenayah. Satu hari dia kena jawab sebab itu dia kena menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluannya di hadapan 500 hadirin pada ceramah “Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Shah Alam hari ini.

Ceramah 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptrokrasi' menarik kehadiran seramai 500 orang di Shah Alam malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2017.
Ceramah ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptrokrasi’ menarik kehadiran seramai 500 orang di Shah Alam malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2017.

Ceramah ini merupakan program kedua jelajah 1MDB anjuran PH untuk menerangkan skandal itu kepada rakyat Malaysia terutama dalam Melayu Islam yang menjadi majoriti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, PH akan menyoal peguam negara tersebut sebaik saja gabungan empat parti itu berjaya menawan Putrajaya selepas PRU14.

“Kita boleh tanya, ‘Hei AG, kau buat salah jenayah ke?,” katanya yang disambut tepukan hadirin.

“Satu hari dia kena jawab itu. Sebab itu kita kena menang. Jadi kalau nak tahu AG buat salah atau tidak, kita kena menang,” katanya.

Beliau yang pernah memenjarakan bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim kini berganding bahu dengan Anwar, menyeru rakyat Malaysia melupakan segala sejarah hitam dan masalah lama yang berlaku sebelum ini.

“Lupakan segala masalah lama..Dr Mahathir maha firaun,maha zalim, itu lama punya.

“Sebabnya kerana jika kita bersatu padu mengundi PH baru kita akan dapat kemenangan,” kata Dr Mahathir yang pernah digelar diktator itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.