Tumbangkan Kedah: Muhyiddin hanya berangan, kata Ahmad Bashah

ALOR SETAR – Dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang BN akan tumbang di Kedah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak ubah seperti ‘angan-angan Mat Jenin’.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kenyataan tersebut hanya bertujuan meraih sokongan rakyat terhadap kepimpinan parti baharu itu.

“Itu mainan politik beliau (Muhyiddin)…tetapi beliau tidak sedar yang beliau sendiri kalah,” katanya selepas merasmikan Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan mendakwa BN Kedah akan tumbang pada PRU akan datang berikutan sentimen rakyat selepas pertukaran menteri besar awal tahun ini.

Dakwanya selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan sebagai

Menteri Besar, BN perlu ditumbangkan memandangkan rakyat juga kononnya melihat Ahmad Bashah tidak sehebat Mukhriz.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Umno negeri itu berkata, rakyat Kedah bijak untuk memilih parti yang memerintah kerajaan dan tidak mahu tertipu buat kali kedua selepas diperintah parti pembangkang pada PRU ke-12 dahulu.

Tegasnya, Umno dan BN tidak gentar dengan kenyataan itu, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan jentera parti tersebut bersedia menghadapi PRU selain turut mempunyai senjata rahsia yang akan digunakan ketika berkempen nanti.

“Apa depa (parti PPBM) nak kata suka hatilah… sebab saya yakin rakyat Kedah pandai menilai kerana mereka tidak mahu menderita lagi. Saya yakin rakyat akan pertahankan Umno dan BN untuk terus memerintah negeri ini,” katanya.

– Bernama

.