TUMBANG NAJIB PRU14, TAK PERLU TUNGGU 2050

SHAH ALAM – Pakatan Harapan mendesak kerajaan agar segera menyelesaikan isu-isu besar yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa ini dan bukannya bermain dengan pelbagai slogan demi kepentingan tertentu.

Menerusi satu kenyataan bersama, Pakatan Harapan mendakwa pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) misalnya, adalah satu lagi kaedah untuk menutup kegagalan pentadbiran kerajaan Umno/BN.

“Pakatan Harapan ingin menegaskan kepada kerajaan bahawa masalah yang dihadapi rakyat pada hari ini adalah kritikal dan rakyat tidak perlu tunggu hingga 2050 tetapi rakyat boleh membuat pilihan pada PRU14 dengan menumbangkan Umno BN agar Malaysia bebas dikuasai daripada tangan-tangan perasuah,” ujar kenyataan bersama itu.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Krai (Amanah), Dr Hatta Ramli; Ahli Parlimen Selayang (PKR), William Leong dan Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago.
Justeru ujar mereka, beberapa isu besar perlu dipandang serius dan diselesaikan secara tuntas oleh pihak kerajaan tanpa perlu mengambil masa yang terlalu lama.

“Iaitu antaranya isu pentadbiran bebas rasuah, isu penganguran, gaji rendah, kos sara hidup yang tinggi dan pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Pelaksanaan TN50, merupakan satu inisiatif pembangunan negara yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050.

Inisiatif ini akan dipacu oleh matlamat dan sasaran yang jelas selama 30 tahun, yang akan dibangunkan melalui proses perundingan dalam fasa persediaan dari tahun 2017 hingga 2019.

Matlamat dan sasaran yang digariskan dalam dokumen dasar TN50 bakal diterbitkan pada awal tahun 2020.

– SH