TULAR GAMBAR NAJIB, ROSMAH: SKMM DIGESA BERTINDAK SEGERA

IPOH – Pemuda Umno Tapah menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap pemilik facebook yang memuatnaik gambar diubahsuai menunjukkan pemimpin negara menonton pornografi.

Ketua Penerangannya, Syed Afzarizal Syed Salim berkata, penularan gambar yang diubah suai seolah-olah perdana menteri menonton filem lucah dan status tersebut amat keterlaluan serta memalukan sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, tindakan keji itu juga mencerminkan betapa rendahnya moral individu yang memuat naik status tersebut dan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kemudahan dan kemajuan teknologi digital seharusnya dimanfaatkan untuk kebaikan. Tiada kaum atau mana-mana bangsa akan merestui tindakan keji ini.

“Masyarakat sekarang gunakan kemajuan IT utk kongsi ilmu, pengalaman, info kesihatan, keselamatan, tolong menolong sambil kongsi kegembiraan kedukaan sesama manusia untuk menyalurkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas penularan satu status Facebook dan gambar yang dimuat naik seorang individu menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor seolah-olah menonton filem lucah sejak beberapa hari lalu.

Syed Afzarizal berkata, SKMM perlu tegas bertindak terhadap isu ini dengan membawa individu terlibat ke muka pengadilan.

“Kita harap bukti forensik dapat menyekat pemilik akaun dari memberi alasan akaunnya telah digodam atau apa saja alasan untuk melepas tengkuknya,” katanya.

– Sinar Harian

.