TUKAR AGAMA: K’JAAN MUNGKIN TAK CUKUP UNDI PINDA PERLEMBAGAAN

Putrajaya mungkin bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghentikan pertukaran agama kanak-kanak secara unilateral, tetapi ia mungkin tidak mempunyai undi mencukupi di Parlimen untuk berbuat demikian, kata pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, BN memerlukan undi majoriti dua pertiga atau 148 undi , sedangkan ia hanya mempunyai 132 undi.

Walaupun mungkin tidak sukar untuk mendapatkan tambahan 16 undi daripada pembangkang, BN perlu memastikan semua Ahli Parlimen menyokongnya, sedangkan sesetengah mereka mungkin tidak berminat dengan pindaan itu.

Bagaimanapun, Aziz tidak percaya keupayaan BN dari sudut legislatif.

“Kerajaan bahkan tidak dapat menangani masalah lebih mudah terhadap pindaan kepada kuasa Mahkamah Syariah yang tidak memerlukan dua pertiga sokongan majoriti di Parlimen,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Contoh lain, beliau berkata kerajaan Perlis memperkenalkan dasar bercanggah untuk membolehkan penukaran agama kanak-kanak secara unilateral.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Putrajaya bersetuju untuk meminda Seksyen 12 (4) Perlembagaan Persekutuan agar penukaran agama bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

MKINI

.