SHAH ALAM – DAP mendakwa sekurang-kurangnya tujuh kerusi Dun Selangor bakal dimenangi BN pada PRU14 berdasarkan persempadanan semula oleh SPR.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, antara kawasan tersebut ialah Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Klang, Pelabuhan Klang, Sijangkang dan Morib.

“Sekurang-kurangnya 10 kerusi majoriti pembangkang juga akan berkurangan dan pergi kepada calon BN.

“Dengan persempadanan semula yang menguntungkan BN, ditambah pula kempen agresif berkaitan isu bangsa dan retorik agama, wujud kemungkinan Selangor boleh jatuh ke tangan BN,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tony berkata, berdasarkan prestasi semasa dan skandal yang menyelubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, BN akan menerima undi lebih kecil pada PRU14.

“Pada 2013, BN terima kurang daripada 48 peratus undi popular. Oleh itu muslihat mereka adalah melukis semula persempadanan kawasan pilihan raya ke tahap BN dijamin kemenangan walaupun undi popular mereka terus merosot.

“Sebagai contoh, kerusi Petaling Jaya Utara diperbesarkan daripada 85,401 kepada 150,439 pengundi. Kawasan itu baru dibesarkan dan ditukar kepada Damansara yang bakal mencapai majoriti 73,533 berbanding 44,672 pada 2013,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengadakan mesyuarat jawatankuasa negeri semalam, bagi membincangkan mengenai rancangan persempadanan semula SPR untuk Selangor dan kesan kepada Pakatan Harapan pada PRU14. – Sinar Harian

.