TUDUHAN SERANGAN PERIBADI, TIDAK HORMAT MAHKAMAH UK

SHAH ALAM – Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga membidas pihak yang menyelarnya berikutan namanya disebut dalam prosiding mahkamah, susulan kenyataan balas Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Ambiga berkata, di dalam kenyataan balas tersebut, namanya hanya disebut pada dua perenggan, namun diberi tumpuan begitu meluas di Malaysia dan disifatkan sebagai sangat luar biasa.

Menurutnya, forum prosiding di UK dipilih pihak menuntut iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana beliau berhak buat demikian.

“Mengikut Mahkamah UK, mana-mana permintaan (tuntutan) dokumenn atau maklumat perlu dibuat.

“Tindak balas terhadap tuduhan serius terkandung di dalam pembelaan dan tuntutan balas perlu dikemukakan. Lagipun, perbicaraan di UK dan bukan di Malaysia.

“Adalah sangat janggal, mereka mahu jalankan perbicaraan mini atau pendakwaan di Malaysia berdasarkan dua perenggan pembelaan menyebut nama saya,” katanya.

Beliau berkata, ia sesuatu yang luar biasa apabila ramai pihak melakukan serangan terhadapnya termasuk menteri dan ahli politik.

“Media kerajaan beri saya liputan tiga halaman termasuk muka depan. Ada blogger  buat kenyataan tidak bermoral, perkauman, fitnah saya dan Rewcastle Brown,” katanya.

Akuinya, media sosial turut digunakan untuk serang reputasinya.

“Saya didatangi tiga individu di rumah yang memperkenalkan diri sebagai wartawan dan mahu dapatkan kenyataan. Beberapa wartawan juga kelihatan di luar pejabat saya hampir dua jam.

“Sekarang, laporan polis pula dibuat terhadap saya berdasarkan pembelaan dan tuntutan balas difailkan oleh Rewcastle Brown,” katanya.

Jelasnya, tindakan itu serangan peribadi dan intimidasi terhadap beliau, malah berpendapat ia penghinaan terhadap Mahkamah UK.

“Terdapat lebih dua perenggan pembelaan dan tuntutan balas tersebut. Ada 36 perenggan. Ada tuduhan serius dalamnya, mungkin itu harus jadi tumpuan,” katanya.

– Sinar Harian

.