Tuduhan Najib terhadap Dr M, Anwar amat hipokrit – Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan yang mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca hubungan kaum yang kononnya semakin buruk di Malaysia adalah tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali dan amat hipokrit.

“Tidakkah Najib sedar bahawa hubungan kaum di negara ini yang kelihatan semakin tegang dan berada di paras paling rendah pada waktu ini adalah disebabkan oleh sokongan tersirat beliau terhadap gerakan rasis dan biadap kumpulan Baju Merah yang diketuai oleh (Datuk Seri) Jamal (Md) Yunos, yang juga merupakan Ketua Umno bahagian Sungai Besar.

“Bahkan, Jamal sendiri telah membuat pengakuan kepada pihak media bahawa sebahagian besar ahli kumpulan Baju Merah adalah ahli-ahli Umno,” kata Muhyiddin dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengaitkan dua individu, yang pertama ialah ‘ketua pembangkang’ dan seorang lagi ‘pemimpin lama’ sebagai bertanggungjawab dalam mengancam dan menggugat perpaduan negara.

Sejak akhir akhir ini, perpaduan negara sering diacam oleh dua individu, kata Najib.

Fasa pertama pada 2008, jelasnya, ialah ketika ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman dan mula mencabar perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dengan menggunakan ia sebagai isu politik untuk meraih undi.

“Sebelum ini tidak ada pun pertikaian pada Perlembagaan dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni. Kesannya, selepas pilihan raya umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum,” katanya.

Menurut Najib lagi, fasa kedua pula bermula pada tahun 2016 apabila “seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk satu lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah kepada lima”.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, ancaman fasa ketiga dijangka berlaku kerana kedua-dua individu itu kini dilihat berbaik-baik.

“Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan dua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya pada fasa ketiga.

“Kerana itulah, agenda 1Malaysia wajib diteruskan.” katanya.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung dua nama yang dimaksudkan itu, namun agak jelas ianya merujuk kepada dua tokoh yang bermusuhan selama 18 tahun dan kemudiannya bersalaman semula iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam banyak pertembungan kumpulan Baju Merah dengan penyokong BERSIH, mereka menggunakan pendekatan yang rasis lagi agresif semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai.

“Tindakan ganas kumpulan ini yang mendakwa kononnya merekalah yang mempertahankan hak-hak orang Melayu langsung tidak mencerminkan adab, tatasusila dan budaya bangsa Melayu.

“Ini adalah satu rancangan jahat BN untuk menyerang parti pembangkang dan memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini, sekaligus membuktikan bahawa Najib dan konco-konconya terus menggunakan sentimen kaum untuk kekal berkuasa,” ujar beliau lagi.
Jika Najib benar-benar prihatin tentang masalah hubungan kaum di Malaysia, beliau sepatutnya mengarahkan Jamal dan kumpulan Baju Merah berhenti daripada membuat provokasi dan serangan terhadap peserta jelajah BERSIH yang rata-rata komited untuk melihat perubahan sistem pilihanraya yang lebih telus dan adil di Malaysia, tambahnya.

“Jangan pula komen-komen negatif Najib terhadap Mahathir dan Anwar sekadar satu helah politik untuk menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara yang bertujuan semata- mata untuk mendiamkan pengkritik.

“Rakyat tahu dan sedar siapa sebenarnya yang sedang berpaut pada dahan politik perkauman yang rapuh semata-mata untuk kekal berkuasa. Najib, rakyat sedang memerhati gerak-geri anda dan masa anda sebenarnya semakin suntuk,” jelasnya lagi.

– M’kini

.