TUDUH PM DALANG FITNAH MELAMPAU: GAUM

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu disiasat polis kerana memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai dalang di sebalik kekecohan ketika program Nothing to Hide 2.0

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sehingga kini tiada bukti kukuh menguatkan dakwaan Azmin itu sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan jijik pemimpin pembangkang.

“Kita tahu membuat satu tuduhan tanpa bukit terutama sekali tuduhan jelik, lebih-lebih lagi kepada Perdana Menteri Malaysia ini satu perbuatan kita sifatkan sebagai fitnah yang cukup melampau.

“Sehingga kini, langsung tiada bukti yang menyokong Datuk Seri Najib yang menyuruh melakukan kekacauan ini hingga ada nyalaan api suar dan balingan bangku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Sri Petaling, di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkarnain membuat laporan polis terhadap Mohamed Azmin berhubung satu kenyataannya di laman web rasmi Menteri Besar Selangor itu pada 13 Ogos lalu yang mendakwa Perdana Menteri bertanggungjawab di sebalik kekecohan ketika program Nothing To Hide 2.0.

Mengulas lanjut mengenainya, Zulkarnain berkata, kenyataan sebegitu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin kerajaan negeri dan insiden itu seolah-olah mempunyai hubung kait dengan Mohamed Azmin.

“Sehingga sekarang saya sendiri tidak faham kenapa Mohamed Azmin boleh keluar kenyataan sebegitu seolah-olah insiden ini ada kena-mengena dengan Azmin.

“Kita sifatkan satu kenyataan yang cukup jelik, jijik dan tidak selayaknya dikeluarkan oleh pemimpin seperti Mohamed Azmin,” katanya.

Sebaliknya Zulkarnain berkata, Perdana Menteri hari ini sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah dan tidak menyekat kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan berbanding pemimpin terdahulu.

“Ketika zaman Reformasi, peserta dipukul dengan belantan, ditembak dengan gas pemedih mata dan insiden Memali, hanya tunjuk perasaan saja, berapa nyawa telah terkorban.

“Tiada satu insiden yang boleh kaitkan Perdana Menteri yang mahu menghalang apa-apa saja perhimpunan sama ada anjuran Mahathir mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri berjaya mengamalkan kebebasan bersuara itu dengan begitu baik hingga akhbar lidah rasmi parti pembangkang bebas dijual kepada semua pihak.

– Sinar Harian

.