TUAN IBRAHIM MIMPI KE MENGIGAU NI?

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan rasa pelik melihat Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya lebih banyak menyerang Pas dan Hadi Awang berbanding menyerang Najib Razak dan UMNO.
Katanya, beliau hairan dengan sikap yang ditunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan itu memandangkan pihak yang ingin dijatuhkannya ialah Najib dan UMNO.
Apa yang beliau tak puas hati? Negara ini rosak bukan kerana Pas, tetapi disebabkan UMNO dan BN yang memerintah, ujar beliau.
Bila Tuan Ibrahim berasa pelik, kita sebenarnya lagi pelik kenapa beliau boleh jadi pelik?
Bukankah sudah begitu banyak serangan dilakukan oleh Tun Mahathir kepada Najib dan UMNO selama ini, bahkan beliau juga tidak berselindung pihak yang ingin dijatuhkan tidak lain tidak bukan ialah Najib dan UMNO?
Melalui ucapan, tulisan di blog, perjumpaan, bertemu banyak pihak dan pusing keliling Malaysia, apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir ialah menyerang dan  mahu menjatuhkan Najib serta UMNO.
Pelik juga kalau Tuan Ibrahim tidak sedar mengenainya?
Adakah beliau bermimpi atau mengigau bila mengatakan Tun Mahathir lebih banyak menyerang Pas dan Hadi, berbanding melakukan serangan kepada Najib dan UMNO?
Atau Tuan Ibrahim selama ini duduk dalam gua?
Sebenarnya, yang  patut Tuan Ibrahim berasa pelik ialah Pas itu sendiri, bukannya Tun Mahathir.
Meskipun Pas, Hadi dan lain-lain pemimpinnya sering mengatakan musuh mereka ialah UMNO dan yang ingin dijatuhkan juga adalah UMNO, tetapi mengapa yang selalu dijadikan sasaran serangan adalah Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan DAP?
Siapa yang merosakkan negara ini?
Mengapa Pas bertekad tidak mahu memberi laluan kepada Pakatan Harapan yang didakwa dan dipercayai mereka dikuasai DAP daripada memerintah negara ini?
Betulkah DAP yang menguasai Pakatan Harapan dan apa asas untuk mengatakan demikian?
Adakah Tun Mahathir yang punya rekod cemerlang berlawan, termasuk dengan Amerika dan diketahui tidak mudah dikuasai sesiapa, boleh diyakini akan dikuasai DAP?
UMNO yang jelas merosakkan negara dan Najib yang digelar penyamun serta bapa segala skandal,  tetapi mengapa DAP yang ditakuti serta dimusuhi?
Kenapa Pas dan Hadi masih ingin menjadi penyelamat kepada Najib, UMNO dan BN?
Mengapa Tuan Ibrahim tidak pernah berasa pelik dengan sikap Pas sendiri yang jadi pembangkang, tapi menunjukkan sikap lebih memihak kepada kerajaan?
Untuk makluman Tuan Ibrahim, ini baru kali pertama Tun Mahathir melakukan serangan yang serius dan padu kepada Hadi, itu pun setelah melihat dan memahami bahawa Presiden Pas itu lebih mahu membawa Pas menjadi penyelamat kepada masa depan Najib daripada menjatuhkannya.
Jika Hadi sudah dirasakan bersama Najib, rakan Najib dan penyelamat Najib, maka di mana salahnya Tun Mahathir menyerang Hadi dan Pas dalam usahanya mahu menjatuhkan Najib dan UMNO?
Adakah Pas sudah terasa pedihnya dengan serangan Tun Mahathir yang menyifatkan Hadi sebagai pengkhianat kepada bangsa dan agama itu, meskipun ia baru serangan kali pertama?

Jika begitu, sediakah Pas menghadapi serangan-serangan seterusnya daripada Tun Mahathir?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.