TUAN IBRAHIM: KERTAS PUTIH ADALAH JAWAPAN SKANDAL 1MDB

Kerajaan perlu segera menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu 1MDB seterusnya mengeluarkan kertas putih supaya tiada mana-mana pihak mengamgil kesempatan, kata PAS hari ini.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun parti itu ada pengalaman pahit berhubung kertas putih, dalam keadaans sekarang itu saja pilihan yang ada sementara semua parti politik menunggu kedatangan pilihan raya umum (PRU) ke-14

“Isu ini perlu diselesaikan dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atasnya.

“Diharap semua pihak dapat melobi agar RCI untuk 1MDB diadakan secepat mungkin.

“Walaupun PAS mempunyai pengalaman pahit berhubung kertas putih dalam isu Memali – apabila kertas putih itu pun telah menjadi kelabu asap – tapi itu sahaja pilihan yang ada sementara semua parti politik menanti keputusan rakyat di PRU ke-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAS berkali-kali bertegas menolak sebarang campur tangan asing dalam usaha parti pembangkang mengenakan tekanan terhadap kerajaan berhubung skandal 1MDB.

Ada pemimpin PAS mengaitkan laporan dibuat pihak tertentu di negara asing sebagai cubaan menjemput negara asing supaya campur tangan dalam urusan dalaman negara.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menggelar pihak itu sebagaiĀ orang yang “pendek akal”.

Kata Tuan Ibrahim kegagalan institusi penguatkuasaan di negara ini membawa Malaysia ke arah bahaya.

Menurutnya rakyat perlu yakin kepada seluruh institusi negara, terutama berkaitan penguatkuasaan dan kehakiman yang memastikan peraturan dipatuhi tanpa pengecualian.

“Apabila semua tempat rakyat mengharapkan keadilan bagi membela nasib mereka telah hilang, tidak pelik jika sesiapa sahaja yang dianggap dapat membantu mereka akan disanjung dan didukung.

“Pendek kata, kegagalan atau kerakusan kerajaan yang merosakkan keyakinan rakyat kepada sistem negara adalah pembuka pintu kepada pihak asing mengambil peluang untuk terlibat di dalam urusan sesebuah negara,” katanya lagi.

Penguatkuasaan sangat lemah

Dalam isu 1MDB, kata Tuan Ibrahim, kegagalan institusi penguatkuasaan menyiasat dan bersikap telus membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasatnya.

Contohnya, kata beliau, laporan audit terhadap 1MDB kini masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“SPRM dengan mudahnya menolak kes 1MDB dan berkata ia di bawah siasatan polis. Polis pula berkata kes ini sedang disiasat tanpa ada tempoh waktu yang tetap untuk menyiapkan siasatan.

“Sehingga hari ini, Peguam Negara tetap berkata tiada bukti sedangkan bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengesahkan bahawa denda yang dikenakan kepada badan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB mungkin adalah yang tertinggi dalam sejarah.

“Kesannya, apabila Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan laporan siasatan dan pendakwaan sivilnya yang melibatkan 1MDB, ia amat menarik perhatian rakyat kita sendiri,” katanya.

Persoalannya, kata Tuan Ibrahim, apakah sistem penguatkuasaan Malaysia begitu lemah dibandingkan dengan DOJ.

“Tapi apakah sistem penguatkuasaan kita dirosakkan kerana ingin mempertahankan sebuah pasangan berkuasa? Tidak pasti, tapi PAS percaya sebilangan besar rakyat sudah ada jawapannya yang tidak perlu dibicara lagi,” katanya.

Tak malukah kita

PAS, katanya, tidak membela penyelewengan terutamanya isu yang melibatkan salah urus tadbir negara, rasuah dalam pelbagai isu besar negara termasuklah 1MDB, kerugian dagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia, kerugian MAS, kronisme syarikat anak-beranak dan segala bentuk program dan polisi yang membazir wang negara.

“Bagi PAS, pelbagai kemelut yang berlaku mesti ditangani dengan cermat dan penuh berhemah. PAS berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, ketika DOJ memulakan pendakwaan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB, penguat kuasa dalam negara berkata, ia masih di peringkat siasatan sedangkan skandal berkenaan sudah lama berlaku.

“Macam mana boleh siasatan domestik terhadap kes yang berlaku dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara?

“Tidak malukah kita? Bukan ini menghakis keyakinan rakyat?” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, semua pihak yang diharapkan rakyat untuk bertindak dalam isu 1MDB mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes untuk didakwa.

“Cuma Bank Negara Malaysia sahaja yang menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap 1MDB, bukannya ianya tiada kes.

“1MDB bertegas bahawa wang mereka tidak hilang, masih ada sama ada dalam bentuk aset atau pelaburan. Namun DOJ menyatakan berlaku pengubahan wang haram yang bersumber dari dana 1MDB. Siapa yang betul?” katanya.

– M’kini

.